Pengasas kepada LoKohoPunoh (LKP) Group iaitu Uzair Emir meluahkan rasa syukur selepas dinobatkan sebagai salah seorang pemenang bagi kategori khas di Anugerah berprestij TikTok Awards Malaysia 2024 iaitu kategori ‘Changemaker Of The Year’.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] BraderWheelchair Tak Sangka Terpilih Sebagai ‘Changemaker Of The Year’, Harap Fasiliti Golongan OKU Tidak Dianaktirikan
Nak beri inspirasi buat anak muda
Ketika ditemui OhBulan, Uzair yang baru sahaja berusia 25 tahun ini memaklumkan bahawa sebagai seorang pempengaruh, sudah menjadi tugas untuknya memberikan kesedaran dan inspirasi buat generasi muda tentang kepentingan menjaga kebersihan.
Misi kami ialah mahu mengajak orang ramai untuk menjaga kebersihan dan mencintai perkara yang melibatkan kebersihan.
Jadi, kami gunakan platform TikTok dengan memuat naik video pembersihan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai untuk menjaga alam sekitar.
Dan dalam masa yang sama, kami ingin memberikan inspirasi kepada anak muda di Malaysia untuk menyertai gerakan dan inisiatif yang kami lakukan.
Uzair berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada TikTok Awards Malaysia 2024 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC), malam tadi.
Berjaya kurangkan populasi sampah
@lokohopunohgroup Takpe kami tolong ? #timelapse #trend #masukberanda #viral #fyp #trend #beach #pantai ? hurts – mydemonswontoday
Lebih membanggakan, program yang dianjurkan LKP Group juga telah berjaya mengurangkan populasi sampah di sekitar pantai yang terletak di negeri Terengganu.
Alhamdullilah, sehingga ke hari ini pihak kami sudah pun berjaya mengumpulkan lebih 120 orang sukarelawan di seluruh Malaysia.
Kami juga sudah berjaya menganjurkan 70 program dan 60 daripada program tersebut adalah program membersihkan tempat yang tercemar.
Program pembersihan yang kami lakukan ini bukan program yang biasa di mana, setiap kali kami lakukan program itu kami akan pastikan tempat itu akan kekal bersih dalam keadaan yang lama.
Alhamdulillah, program yang kami jalankan berjaya kurangkan populasi sampah sekitar beberapa pantai di Terengganu antaranya Pantai Miami dan Pantai Seberang Takir.
Dan insya-Allah, selepas ini kami bercadang untuk menjelajah dan menubuhkan badan kami ini ke seluruh negeri di Malaysia.
Ketika ditanya bagaimana terhasilnya idea untuk menggunakan TikTok sebagai platform untuk menyebarkan kesedaran, Uzair memaklumkan bahawa idea itu timbul selepas mendapati pengguna TikTok akan lebih terkesan jika menonton video yang lain daripada yang lain.
Idea untuk menggunakan platform TikTok mula timbul selepas saya sedar bahawa penonton akan lebih terkesan jika kita tunjuk dan beri kesedaran melalui perkongsian video pembersihan yang luar biasa.
Justeru itu, saya dan beberapa sukarelawan lain mengambil keputusan untuk memuat naik video dengan tujuan memberikan inspirasi buat anak muda untuk bersama dengan kami.
Kesihatan sukarelawan sering dijaga
Sementara itu, Uzair yang merupakan graduan dalam bidang perubatan menjelaskan bahawa setiap sukarelawan yang mahu menyertai program pembersihan perlu mempunyai tahap kesihatan yang baik supaya risiko terdedah dengan penyakit dapat dikurangkan.
Untuk pengetahuan semua, saya merupakan graduan dalam bidang perubatan dan insya-Allah akan melanjutkan pelajaran saya lagi selepas ini.
Jadi, bila kita buat proses membersihkan kawasan sekitar, aspek kesihatan merupakan aspek paling utama saya titik beratkan.
Sudah tentu, kami akan pastikan sesiapa yang ingin menyertai program pembersihan kami perlu mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini.
Keduanya, kami juga akan memastikan tempat yang kami pilih untuk proses pembersihan itu selamat dari sebarang bahan tercemar yang boleh menjejaskan kesihatan.
Sekadar info, LKP Group merupakan sebuah badan amal bukan kerajaan (NGO) yang menitikberatkan alam sekitar dengan bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar.
Apa yang menarik ialah, nama LoKohoPunoh (LKP) Group ini diambil menerusi dialek negeri Terengganu yang bermaksud, ‘Semakin dibiarkan, semakin binasa sesuatu itu’.
Untuk makluman, LKP merupakan antara dua pemenang bagi kategori khas ‘Changemaker Of The Year’ yang telah banyak memberikan inspirasi melalui kandungan yang dihasilkan di TikTok.