Gambar sekadar hiasan
Seorang pegawai bomba yang menjadi antara barisan hadapan dalam tragedi Batang Kali dikhabarkan telah meninggal dunia akibat serangan jantung, semalam (Khamis).
Artikel Berkaitan: Peluang Jumpa Mangsa Tragedi Tanah Runtuh Masih Hidup Tipis – Pengarah JBPM Selangor
Artikel Berkaitan: Fazley Yaakob Mohon Tolak Beza Agama & Bangsa, Jaga Hati Keluarga Mangsa Tanah Runtuh
Antara terawal bantu operasi tanah runtuh
Menurut laporan Buletin TV3, beliau merupakan Abd Aziz Usoff, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang yang turut membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember lalu.
Difahamkan, Abd Aziz meninggal dunia jam 7.55 pagi pada usia 49 tahun. Dalam pada itu, jenazah Allahyarham telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, sebelum disolatkan di Masjid Jamek Nurul Iman, Rawang. Kemudian, selamat dikebumikan sekitar jam 9.30 malam di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Al Ittihad, Sungai Kob, Karangan, Kulim, Kedah.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis memaklumkan, Allahyarham merupakan antara yang terawal tiba di lokasi tragedi Batang Kali untuk membantu operasi terbabit meskipun kejadian itu bukan di kawasan jagaan beliau.
Beliau sudah berkhidmat dalam selama 15 tahun, dan merupakan pegawai sangat berdedikasi, bertanggungjawab serta komited terhadap tugas, terutama ketika melakukan operasi kebombaan. Pemergian arwah adalah satu kehilangan yang sukar dicari ganti.
Sekadar info, beliau meninggalkan seorang balu bersama empat cahaya mata lelaki.
Sumber: Buletin TV3