Sepasang suami isteri di Itali dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah kerana membunuh anak perempuan mereka pada 2021.
Dibunuh ibu bapa
Memetik laporan ABC, mangsa iaitu Saman Abbas, 18, telah dibunuh kerana menolak permintaan keluarga yang mahu mengahwinkannya dengan sepupu di Pakistan. Difahamkan, mangsa dilaporkan hilang pada Mei 2021 dan beberapa hari kemudian, ibu bapa mangsa meninggalkan Itali untuk berangkat ke Pakistan.
Menurut sumber, mangsa pernah membawa teman lelakinya berjumpa dengan melawat keluarganya pada April 2021 namun hubungan mereka tidak direstui. Namun misteri kehilangan mangsa akhirnya terbongkar dengan penemuan satu mayat di rumah ladang milik bapanya pada November 2022. Lebih meruntun hati apabila mangsa ditemui dengan keadaan lehernya patah.
Abang mangsa kemudian mendakwa terdengar perbualan ibu bapanya bercakap mengenai pembunuhan tersebut. Turut terlibat adalah bapa saudara mangsa yang dikatakan bertindak mencekik mangsa.
Bapa saudara mangsa dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun manakala dua sepupu dibebaskan. Empat lelaki itu hadir dalam perbicaraan, tetapi ibunya, Nazia Shaheen, masih menjadi buruan.
Sumber: ABC News