Terlantar di hospital akibat masalah cecair di bahagian kepala, bekas pelajar Maahad Darul Quran Rusila, Siti Umaimah Saludin baru-baru ini mendapat perhatian ramai apabila kehilangan ibu saat dirinya turut sakit. Ibu, Allahyarham Zakiah Mohd meninggal dunia dipercayai akibat barah pada Sabtu lalu.
Menerusi laporan Sinar Harian, bapa, Saludin Hamzah memaklumkan anaknya Siti Umaimah dibenarkan keluar wad seketika untuk mengiringi pengebumian dan memberikan ciuman terakhir buat ibu tersayang.
Sempat beri ciuman terakhir
(Siti Umaimah ketika dirawat di hospital)
Menceritakan dengan lebih lanjut mengenai arwah, Saludin berkata hanya mengetahui isteri menghidap leukimia selepas mendapat panggilan daripada pihak hospital Khamis lalu.
Syukurlah dia masih sempat bersama arwah ibunya ketika dikebumikan di tanah perkuburan.
Saat dia pergi saya tidak tidur malam hampir tiga hari kerana sibuk menguruskan anak di hospital dan urusan kerja. Tiba-tiba saya dapat panggilan daripada anak kedua memberitahu keadaan ibunya yang sedang nazak.
Saya tak sangka dia akan pergi dahulu akibat penyakit kanser darah (leukemia) sedangkan kami sama-sama menjaga anak di hospital.
Sebelum ini, arwah pernah ditahan di wad Hospital Dungun kerana demam dan ulser di mulut. Ketika itu, Siti Umaimah turut dirawat disitu. Tambahnya lagi, dia sendiri hanya sempat bersama arwah 10 minit sebelum meninggal dunia.
Hanya batuk dan demam
(Gambar ketika sihat yang viral di laman sosial)
Perlu bekerja untuk menampung belanja rumah dan pengajian tiga anak, Saludin memberitahu terpaksa meminta pertolongan keluarga lain untuk menjaga Siti Umaimah di hospital. Kata Saludin, anak ketiganya itu pada awalnya hanya batuk dan demam pada Jun, namun semakin buruk pada Julai.
Selera makannya juga berkurang sejak Jun lalu. Dia demam tapi saya ingatkan demam biasa sebelum dia mula meracau pada sebelah malam dan terkena sawan. Saya terus hantar ke Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Saya juga dimaklumkan pihak hospital selepas menjalani ujian Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dia ada jangkitan kuman pada selaput otak dan kini masih dirawat di Hospital Dungun.
Sebagai seorang bapa, dia berdoa agar Siti Umaimah kembali sembuh dan menyambung pengajian yang tertangguh akibat sakit yang dialami. Katanya, permohonan masuk ke Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) telah diterima dan yuran pengajian telah dilunaskan.
Sumber : Sinar Harian