berita

Gaduh Sebab Vape, 16 Lelaki Kena Tahan Selepas Video Viral

March 22nd, 2021 | by Zulaikha
Kini Trending

Foto: Tangkap layar video

Semalam, tular satu video yang berdurasi 20 saat, yang memaparkan tindakan sekumpulan individu yang bertindak memukul seorang lelaki di sebuah pusat beli belah di Bukit Bintang.

Susulan daripada itu, menerusi kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, pihaknya telah menahan 16 individu berhubung pergaduhan yang berlaku itu.

Berlakunya salah faham

Foto: Tangkap layar video

Difahamkan menerusi siasatan awal yang dijalankan, pihak polis mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan ketidakpuasan hati berkaitan penggunaan rokok elektronik (vape).

Berlaku ketidakpuasan hati dalam kalangan kumpulan terbabit apabila salah seorang daripada rakan mereka berada dalam keadaan khayal dan pengsan selepas menghisap vape.

Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 13 hingga 25 tahun dan ujian saringan air kencing pula mendapati mereka negatif dadah.

Ujar Zainal lagi, kesemua yang telah ditangkap akan direman selama tiga hari bermula semalam, dan siasatan lanjut akan dibuat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan Akta 574. Pada masa yang sama, pihaknya turut memberikan peringatan mesra kepada individu awam supaya tidak mengambil tindakan sendiri serta sentiasa mematuhi undang-undang sedia ada.

Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03 2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03 2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: Mohd Redzuan Abdul Manap 

SKIP THIS AD ×