berita

Gagal Capai Penyelesaian, Mahkamah Arah Sharnaaz & Nabila Jalani Proses Timbang Tara

November 6th, 2019 | by Shira
Kini Trending

Beberapa bulan lalu, Noor Nabila telah memfailkan cerai terhadap suami, Sharnaaz Ahmad selepas mereka tidak lagi mempunyai persefahaman. Walau bagaimanapun, Sharnaaz Ahmad enggan menceraikan Noor Nabila dan mereka diminta mencapai penyelesaian melalui Jawatankuasa Pendamaian (JKP)

Dalam perkembangan terbaru, mereka dikatakan tidak menjumpai jalan penyelesaian dan telah dirujuk ke peringkat seterusnya iaitu dalam proses timbang tara (hakam).

Merujuk kepada proses hakam

Menerusi laporan mStar, kes penceraian Sharnaaz dan Noor Nabila gagal mencapai penyelesaian dalam Jawatankuasa Pendamaian (JKP).

Susulan daripada itu, Hakim SyarieAhmad Muttaqi Ismail di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur telah menetapkan 4 Disember ini sebagai tarikh untuk melantik wakil dalam proses timbang tara (hakam) bagi kedua-dua pasangan.

Tidak halang hak sebagai bapa

Berhubung dengan proses (hakam), pihak mahkamah mempunyai kuasa untuk melantik penimbang tara. Sesiapa sahaja dalam kalangan saudara-mara terdekat bagi kedua-dua pasangan tersebut yang mempunyai maklumat berhubung kes pasangan ini perlu menjadi wakil bagi mereka.

Sementara itu, menerusi Gempak kedua-dua pasangan ini dikatakan telah mendapatkan wakil bagi pihak mereka iaitu Sharnaaz melantik kakaknya Dr Sherrini Ahmad Bazir Ahmad sebagai wakilnya. Manakala wakil bagi pihak Nabila ialah ayah tirinya, Abdul Halim Khan.

Walau bagaimanapun, menurut Sharnaaz proses itu tidak menghalang haknya sebagai bapa untuk menjenguk serta melihat anaknya, Jebat Jayden.

Supaya masing-masing dapat hidup dengan aman

Menurut peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Sharnaaz, proses hakam tersebut perlu dilakukan untuk menyelesaikan kes pasangan ini.

Keputusan hari ini mahkamah menetapkan pelantikan hakam bagi menyelesaikan semua isu dan mencari jalan terbaik. Kita ada peruntukan undang-undang untuk merujuk kes ini ke hakam pula.

Dua-dua pihak ada alasan masing-masing dan kalau tiada penyelesaian mereka ada hak untuk bawa ke peringkat seterusnya iaitu hakam.

Pada masa yang sama mereka akan mencari jalan terbaik untuk selesaikan masalah ini secara global.

Kita sekarang ini dalam usaha nak selesaikan semuanya secara terbaik supaya masing-masing dapat hidup dengan aman damai tanpa sebarang masalah.

Sumber: mStar, Gempak

×