berita

Gagal Jurusan Perubatan, Wanita Malaysia Jadi Doktor Palsu Selama 7 Bulan Di Australia Sebelum Kantoi

January 27th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Seorang wanita warga Malaysia dikenakan hukuman khidmat masyarakat dan denda oleh mahkamah di Australia selepas dia menyamar menjadi doktor selama 7 bulan di sebuah hospital di Sydney, Australia.

Gagal jurusan perubatan

Foto: 9News

Menurut laporan Daily Mail, Lee Zhi Sin, 27 tahun dikenakan hukuman khidmat masyarakat ‘Intensive Correction Order’ (ICO) selama 2 tahun di Australia dan denda AUD10,000 (RM30,000) selepas mengaku bersalah menjalankan tugas dalam samaran sebagai doktor.

Lee tertangkap selepas didapati tidak berdaftar dengan Australian Health Practitioner Regulation Authority (APHRA). Wanita itu yang merupakan pelajar antarabangsa di sana telah menyamar sebagai doktor praktikal di Hospital Bankstown-Lidcombe, Sydney selama 7 bulan dari Januari hingga Ogos tahun lepas.

Dalam pada itu, wanita berkenaan merupakan bekas pelajar jurusan perubatan yang telah gagal 6 mata pelajaran teras pada tahun akhir di University of New South Wales (UNSW). Namun, sebelum gagal dan diberhentikan, dia sempat memohon untuk menjalankan latihan praktikal sebagai doktor.

Pada Januari 2021, Lee ditawarkan tempat untuk menjalankan latihan praktikal iaitu di Hospital Bankstown-Lidcombe, lalu terus menerima tawaran tersebut tanpa membuat pengakuan yang dia tidak lagi layak untuk berkhidmat sebagai doktor.

Di mahkamah, hakim telah mengetepikan alasan Lee iaitu dia ‘keliru’ ketika ditawarkan tempat praktikal. Menurutnya, Lee telah bersikap tidak jujur kepada hospital, dan berulang kali tidak mengisi ruangan nombor pendaftaran pada dokumen-dokumen ketika menjalankan tugas.

Kalau dia keliru, dia patut dapatkan nasihat. Dia menipu hari demi hari, shif demi shif.

Berada dalam tekanan

Foto: 9News

Sebelum tertangkap, Lee berjaya melengkapkan 127 shif yang dianggap membahayakan nyawa pesakit dan staf. Wanita tersebut turut mendakwa bahawa dirinya berada dalam tekanan kewangan dan sosial yang membuatkan dirinya ingin meneruskan dengan samaran tersebut.

Wanita yang berasal dari Pulau Pinang itu berkata, keluarganya telah berhabis lebih AUD300,000 (RM900,000) bagi menampung kos pengajiannya di Australia.

Memang saya cuai. Tapi saya alami tekanan sosial. Umur saya sudah menghampiri 30, dan saya merasakan tekanan (untuk berjaya) daripada orang sekeliling.

Dalam satu temu bual bersama 9News, Lee memohon maaf kepada semua ahli pesakit dan ahli keluarga mereka sekiranya pernah diletakkan dibawah pantauannya.

Sumber: 9News, Daily Mail

SKIP THIS AD ×