Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung seluruh rakyat Malaysia, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Bahkan, jika mana-mana individu yang ingkar arahan tersebut, mereka boleh dikenakan kompuan sebanyak RM1,000 oleh pihak berkuasa.
Seperti laporan yang dipetik dari Malaysia Gazette, sepasang pasangan pengantin, bersama 17 individu pengiring pengantin tersebut telah ditahan oleh pihak polis dan telah dikompaun susulan gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Kejadian tersebut berlaku di Taman Nilam, Langkawi, dua hari yang lalu.
Video tular di media sosial
Menerusi video yang dikongsi di laman TikTok itu, menunjukkan satu pasangan pengantin ditemani dengan pengapit-pengapitnya yang sedang leka mengambil gambar ketika proses outdoor photoshoot dilakukan. Namun, sedang leka mengambil gambar mereka telah dikunjungi pihak polis yang tiba di tempat kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, kesemua individu yang berada di tempat kejadian telah ditahan ketika pihaknya sedang membuat rondaan mengenai pemantauan SOP yang sepatunya dipraktikkan oleh penduduk setempat.
Secara keseluruhan seramai 19 individu berusia lingkungan 18 hingga 28 tahun ditahan sebelum dibawa ke balai polis. Kesemua mereka termasuk pasangan pengantin itu ditahan kerana ingkar peraturan yang dikuat kuasakan ketika PKP. Hasil pemeriksaan juga mendapati kebanyakan mereka menetap di Taman Nilam.
Jelas Shariman lagi, kesemua individu yang telah ditahan telah dibebaskan pada hari yang sama selepas pihaknya mengenakan tindakan kompaun kepada mereka yang telah melanggar SOP tersebut.
Sumber: Malaysia Gazette