Seorang lelaki maut ditikam oleh isterinya dalam satu kejadian di hadapan rumah sebuah pangsapuri di kawasan Kajang, pada Ahad.
Tikam suami sampai mati
Memetik laporan Harian Metro, insiden tragis itu berpunca daripada perselifihan faham yang berlaku antara pasangan tersebut.
Pihak polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan daripada orang awam yang turut menyaksikan kejadian itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, suspek yang merupakan seorang suri rumah berusia 59 tahun itu dipercayai menyerang suaminya, 60, menggunakan sebilah pisau.
Polis menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu dan turut merampas beberapa sampel lain bagi membantu siasatan.
Mangsa yang bekerja sebagai kontraktor itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Hasil bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Serdang mengesahkan punca kematian akibat kesan kecederaan daripada beberapa tikaman.
Susulan daripada itu, suspek yang merupakan wanita tempatan direman selama lima hari sehingga 21 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat, ASP Mohamed Hafeez Hamzah di talian 019-6556536.
Sumber: Harian Metro