Sekadar gambar hiasan
Seorang remaja lelaki ditahan polis selepas disyaki memukul ibu kandungnya hanya kerana wanita itu dikatakan tidak mengemas rumah yang didiami mereka di Kampung Lindungan Sungai Way, Petaling Jaya.
Pukul ibu sebab tak kemas rumah?
Sekadar gambar hiasan
Memetik laporan Bernama, suspek yang berusia 19 tahun itu bertindak mengunci pintu hadapan sebelum membaling barang perhiasan rumah ke arah mangsa. Tidak terhenti di situ, suspek kemudian bertindak agresif dengan menumbuk muka serta memijak dada sebelah kiri mangsa.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, mangsa, 44 tahun yang mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Bertindak atas laporan dibuat ibunya pada Isnin lepas, polis menahan remaja itu pada 7.30 malam dan kini direman sehingga Sabtu (5 Nov) ini bagi membantu siasatan.
Hasil siasatan awal mendapati, suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah. Difahamkan, kejadian berkenaan bukan kali pertama terjadi dan siasatan lanjut masih dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau objek merbahaya.
Sumber: Bernama