berita

Garis Panduan Ibadah Di Masjid & Surau Dah Siap, Tunggu Arahan Kerajaan

May 4th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seperti yang kita sedia maklum bahawa sebelum ini segala aktiviti di rumah ibadat adalah tidak dibenarkan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Terbaru, aktiviti di masjid dan surau akan dibenarkan sekiranya kerajaan berpuas hati dengan garis panduan yang disediakan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama).

Garis panduan siap

Menerusi laporan yang dipetik daripada Harian Metro, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata garis panduan tersebut telah pun siap dan sudah dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 30 April (Khamis) yang lalu.

Menurut Dr Zulkifli, garis panduan berkenaan telah disediakan oleh Unit Penyelidikan Ilmiah JPM (Hal Ehwal Agama) dan Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pertimbangan utama kerajaan adalah melihat kepada kesiapsiagaan dan persediaan teknikal di tahap optimum semua pihak iaitu Majlis-Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri sebagai badan berautoriti dan pihak berkuasa utama negeri dalam hal ehwal pentadbiran agama serta persediaan masjid dan surau di tahap terbaik.

Dipertimbangkan di setiap negeri

Sementara itu, Dr Zulkifli turut memberitahu bahawa pembukaan masjid dan surau kemungkinan akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini tetapi ianya tertakluk kepada keputusan kerajaan terhadap garis panduan yang disediakan. Tetapi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini berlangsung, segala aktiviti di masjid dan surau masih lagi tidak dibenarkan.

Bagi menjawab pertanyaan adakah wujud kemungkinan ia dilaksanakan dalam masa terdekat, ini jawapan Dr Zulkifli.

Ya, jika kerajaan berpuas hati dengan garis panduan disediakan, juga tahap kerjasama dan keprihatinan rakyat secara umumnya sepanjang PKPB disamping mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bukan itu sahaja, kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sangat penting sebelum membenarkan pembukaan semula rumah ibadat ini. Menurut Dr Zulkifli, sekiranya garis panduan ini diluluskan oleh kerajaan tetapi ianya masih perlu pertimbangan oleh pihak berkuasa di setiap negeri.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×