berita

Gelak & Tersenyum Bila Ditanya Mengenai Si Mati, Gadis Pilih Cara ‘Spontan’ Bunuh Kawan Baik Sendiri

November 9th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Kalau korang nak tahu, sekitar tahun 2016 yang lalu, nama Wayan Mirna Salihin ini pernah menggemparkan negara Indonesia dan menjadi bualan hangat netizen termasuklah mendapat liputan meluas daripada media massa mahupun media elektronik.

Seorang gadis kecil molek, Wayan Mirna Salihin telah dibunuh oleh kawan baiknya sendiri. Lebih mengejutkan apabila si pembunuh telah menggunakan cara ‘halus’ untuk ‘melenyapkan’ si mangsa. Kejam!

Siapa Wayan Mirna Salihin?

Wayan Mirna Salihin berusia 27 tahun dibesarkan di Jakarta, Indonesia. Mirna mempunyai seorang adik kembar yang dikenali dengan nama Made Sandy Salihin. Memang tidak dapat dinafikan, kedua-dua mereka memiliki wajah yang hampir sama. Mereka berdua merupakan anak kepada pasangan Ni Ketut Sianti dan Edi Darmawan Salihin.

Bapanya merupakan seorang ahli perniagaan dan memiliki beberapa perniagaan di Jakarta. Boleh dikatakan, Mirna dilahirkan dari keluarga yang agak kaya. Menurut sumber, Mirna dikatakan telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan salah satu perniagaan bapanya itu.

Selepas menamatkan zaman persekolahannya di Jubilee School, Mirna telah melanjutkan pelajaran di Billy Blue College of Design dan Swiburne University of Technology di Australia. Menurut guru di sekolah, Mirna merupakan seorang pelajar yang sangat baik dan menghormati orang tua. Bukan itu sahaja, sikap dan perwatakan Mirna membuatkan dia disenangi ramai sehingga ramai rakan-rakannya akan menjadikan Mirna sebagai tempat mengadu.

Perkenalan Mirna dan Jessica

Wayan Mirna Salihin dan Jessica Kumala Wongso sudah lama mengenali antara satu sama lain. Malah mereka juga merupakan sahabat baik. Perkenalan mereka bermula semasa masing-masing bergelar pelajar univerisiti di Australia, Namun, setelah menamatkan zaman belajar, Jessica masih menetap di negara berkenaan manakala Wayan Mirna dan teman lelakinya iaitu ­­­Arief Soemarko telah pulang ke kampung halamannya di Indonesia.

Difahamkan, Mirna dan Arief sudah menjalinkan hubungan cinta selama 10 tahun sejak di zaman belajar lagi. Pada 28 November 2015, Mirna dan Arief telah disatukan sebagai suami isteri. Tetapi malangnya, Mirna hanya sempat menjadi isteri kepada Arief dalam tempoh yang agak singkat sahaja iaitu hanya selama 38 hari sahaja.

Hal ini kerana, pada 6 Januari 2016, Mirna disahkan meninggal dunia. Berita kematian Mirna bukan sahaja mengejutkan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan tetapi seluruh warga Indonesia. Kematian mengejut Mirna penuh dengan tanda tanya dan misteri. Kisah pembunuhan Mirna ini mempunyai versi yang berbeza.

Keterangan Jessica

Pertama sekali adalah berdasarkan keterangan daripada suspek iaitu Jessica Kumala Wongso. Menurut penjelasan Jessica, sebelum kejadian dia sudah berada di Grand Indonesia pada jam 2 petang dan telah berjanji untuk bertemu dengan tiga orang lagi rakannya iaitu Mirna, Hani dan Vera sekitar jam 5 petang.

Setibanya di sana, Jessica secara bersendirian telah menuju ke Kafe Olivier yang juga merupakan kafe pilihan Mirna. Dia kemudian telah menempah satu meja bernombor 54. Selepas itu, Jessica berjalan mengelilingi pusat membeli belah dan membeli cenderahati untuk ketiga-tiga rakannya itu.

Selepas selesai membeli, sekitar jam 4 petang, Jessica telah kembali semula ke kafe tersebut untuk memesan minuman. Difahamkan, Jessica sudah menghantar mesej di Group WhatsApp mereka dan bertanya kepada Mirna dan Hani mengenai menu minuman yang ingin dipesan mereka.

Keadaan cemas Mirna ‘hampir mati’

Namun, tidak lama selepas itu, minuman yang pertama sekali dihantar oleh pelayan ialah minuman milik Mirna iaitu Kopi Ais Vietnam dan seterusnya baru lah pesanan Jessica dan Hani tiba. Sekitar jam 4:40 petang, Mirna dan Hani telah tiba di kafe tersebut tetapi wajah Vera langsung tidak kelihatan. Selepas Mirna meminum kopi itu, dia mengatakan bahawa rasa kopi tersebut agak aneh.

Oleh hal yang demikian, dia telah meminta rakannya itu untuk mencuba minuman tersebut. Bukan itu sahaja, Mirna turut meminta air kosong dan Jessica telah bertindak memesan air tersebut kepada pelayan dan Hani pula sedang membelek-belek menu minuman yang lain sebagai ganti.

Jessica yang baru sahaja kembali ke meja tersebut sudah melihat Mirna berada dalam keadaan mencemaskan seperti hampir mati. Jessica dan Hani yang panik cuba menyedarkan Mirna dan meminta bantuan pelayan di kafe tersebut. Mirna kemudian diletakkan di atas kerusi roda dan dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Rakaman CCTV

Sementara itu, menerusi rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) di Kafe Olivier pula, Jessica telah tiba di kafe untuk menempah meja sambal dilayani oleh seorang pekerja di situ. Berdasarkan rakaman CCTV, kelihatan Jesscia cuba mengintai meja tersebut sebelum meninggalkan kafe. Jessica kemudian telah berjalan di pusat membeli belah dan membeli cenderahati buat Mirna dan Hani.

Tidak lama selepas itu, kelihatan Jessica kembali ke kafe dengan tiga beg kertas di tangannya sebelum dia dibawa ke meja yang ditempah. Jessica menoleh berkali-kali ke arah meja 54. Selepas itu, seorang pelayan telah datang ke meja tersebut untuk mengambil tempahan minuman dan makanan. Jessica kemudian memesan minuman seperti yang diminta oleh Mirna dan Hani di dalam Group WhatsApp mereka.

Dia kemudian membuat pembayaran di kaunter. Pada awalnya Jessica duduk di bahagian paling kiri kemudian dia menukar tempat duduknya di bahagian tengah iaitu sebaris dengan CCTV yang dihalang oleh tanaman di kafe tersebut. Walaupun begitu, pergerakan tangan Jessica masih kelihatan.

Letak beg kertas atas meja, tutup CCTV?

Tidak lama selepas itu, minuman milik Mirna telah sampai terlebih dahulu dan diikuti dengan minuman Jessica dan Hani. Tetapi apa yang anehnya, beg kertas (cenderahati) itu diletakkan dan disusun sebaris di atas meja seakan sengaja mahu menutup pandangan CCTV. Dia juga kerap memandang sekeliling kafe tersebut seperti mahu melakukan sesuatu.

Pada jam 4:29 petang, rakaman CCTV menunjukkan Jessica seperti mengambil sesuatu dari dalam beg tangannya. Dia kemudian memindahkan kopi yang berada di hadapannya ke hujung meja iaitu sejajar dengan beg kertas tersebut. Selepas itu, Jessica mengambil semula ketiga-tiga beg kertas itu dan meletakkan di belakang sofa.

50 minit kemudian iaitu sekitar jam 5:17 petang, Hani dan Mirna telah tiba di kafe tersebut. Selepas berpeluk-pelukan, Mirna yang duduk di antara Jessica dan Hani telah meminum Kopi Ais Vietnam yang dipesannya itu. Tetapi sebaliknya pula yang terjadi apabila Mirna mengadu bahawa rasa air kopi tersebut agak pelik dan tidak sedap.

Hani pula kelihatan telah mencuba merasa sedikit kopi tersebut dan agak terkejut kerana rasanya yang pelik. Hani kemudian membelek menu lain di buku menu sementara Jessica pergi meninggalkan mereka untuk memanggil pelayan. Mirna kemudian tersandar pada sofa dan tidak sedarkan diri. Orang ramai segera membantu membawa Mirna menggunakan kerusi roda ke klinik yang terletak di dalam pusat membeli belah tersebut. Mirna kemudian disahkan meninggal dunia.

Ada racun 15 gram dalam kopi Mirna


Hasil daripada bedah siasat mendapati perut Mirna mengalami pendarahan disebabkan zat korosif yang berasal dari racun Sianida. Kandungan racun tersebut telah merosakkan mukosa perut. Bukan itu sahaja, pihak berkuasa juga telah mengeluarkan sampel kopi yang diminum oleh Mirna dan mendapati terdapat 15 gram racun Sianida di dalamnya. Pihak polis juga mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan kematian Mirna.

Oleh itu, mereka telah pergi ke Kafe Olivier untuk menjalankan siasatan sementara membawa saksi iaitu Jessica dan Hani. Selain itu, Jessica, Hani, pekerja-pekerja kafe serta ahli keluarga Mirna turut diambil keterangan untuk membantu siasatan. Malah, rumah Jessica turut digeledah untuk mencari seluar Jessica yang dipakai pada hari kejadian. Tetapi sayangnya, mereka langsung tidak menemui seluar tersebut.

‘Pembohongan’ Jessica

Walau bagaimanapun, pihak yang dipertanggungjawabkan telah membongkarkan beberapa ‘kebohongan’ Jessica. Antara penerangan yang diberikan oleh Jessica adalah, dia mengakui kononnya ada menolong menyedarkan Mirna ketika mangsa sedang tidak sedarkan diri. Tetapi sebaliknya pula yang berlaku apabila tiada sebarang bukti dari rakaman CCTV yang menunjukkan Jessica membantu Mirna.

Selain itu, Jessica memaklumkan dia tidak datang ke rumah duka kerana sakit asma. Namun, kenyataan tersebut agak menimbulkan keraguan kerana sebelum ini dia pernah mengaku bahawa sudah sembuh daripada penyakitnya itu.

Bukan itu sahaja, Jessica turut mengakui tidak pernah berhubung dengan rakannya, Hani selepas kejadian ngeri yang menimpa Mirna. Tetapi kenyataan tersebut bercanggah dengan kenyataan yang diberikan Hani. Hani mengakui bahawa dia ada menghubungi Jessica tetapi Jessica tidak pernah membalas WhatsApp.

Jessica tipu Hani

‘Kebohongan’ keempat ialah Jessica mengaku tidak pernah mempunyai masalah dengan teman lelakinya dan tidak pernah dimasukkan ke dalam wad. Tetapi sebenarnya Jessica sudah 3 kali dirawat di hospital dan dimasukkan ke dalam wad kerana mengalami masalah kemurungan selepas bergaduh dengan teman lelakinya.

Akhir sekali, pada jam 3:30 petang pada hari kejadian, Hani ada menghubungi Jessica menanyakan keberadaannya dan Jessica menjawab dia masih berada di jalan sedangkan dari rakaman CCTV iaitu pada waktu itu (3:30 petang) Jessica sudah berada di dalam Olivier Café.

Selain itu, terdapat pelbagai laporan dari Australia yang membabitkan Jessica Kumala Wongso antaranya ialah kerap memandu dibawah pengaruh alkohol, melanggar bangunan sehingga mengalami kecederaan parah, ugutan membunuh diri dan sebagainya. Menurut laporan, pihak polis telah menemui sebilah pisau di dalam bilik tidur Jessica, ubat-ubatan, perkakas panggang seperti arang dan tiga nota bunuh diri.

Tingkah laku pelik Jessica

Antara punca lain yang menyebabkan Jessica dianggap sebagai pelaku adalah kerana tingkah laku yang ditunjukkannya pada sebelum dan selepas kejadian. Menurut sumber, Jessica telah kembali ke Indonesia pada 5 Disember 2015 dan itu merupakan kali pertama dia menghantar pesanan WhatsApp kepada Mirna setelah sekian lama mereka tidak berhubung. Tetapi mesej tersebut tidak dibalas oleh Mirna. Usaha Jessica tidak terhenti di situ, pada 7 Disember, dia sekali lagi menghubungi Mirna dan mengajaknya berjumpa.

Pada 12 Disember 2015, Mirna ditemani dengan suaminya, Arief telah berjumpa Jessica. Sejak daripada itu, Jessica kerap berhubung dengan Mirna sehingga dia telah membuat WhatsApp Group yang dianggotai oleh Mirna, Jessica, Hani dan Vera. Jessica kemudian mengajak rakan-rakannya itu berjumpa di Olivier Café pada 6 Januari 2016 jam 6 petang.

Tetapi terdapat beberapa tingkah laku pelik yang ditunjukkan Jessica pada hari kejadian. Antaranya ialah Jessica mengajak mereka berjumpa pada jam 6 petang tetapi Jessica telah tiba di kafe tersebut pada jam 2 petang. Selain itu adalah berkaitan tiga beg kertas cenderahati yang diletakkan Jessica di atas meja sedangkan pada ketika itu ruangan sofa adalah sangat luas.

Jessica buang seluar jeans yang dipakai

Tingkah laku seterusnya adalah tindakan Jessica yang mengelak daripada meminum air kopi Mirna sedangkan pada ketika itu Mirna sempat meminta Jessica untuk rasa minuman tersebut. Dalam kenyataan, Jessica memberitahu bahawa dia terpaksa menolak kerana faktor kesihatannya yang tidak mengizinkannya untuk meminum air kopi terbabit.

Lebih menimbulkan syak wasangka adalah tindakan Jessica yang membuang seluar jeans yang dipakai pada hari kejadian kononnya seluar tersebut sudah koyak. Menurut pihak forensik, seluar tersebut boleh merungkaikan kes kematian Mirna. Bukan itu sahaja, Jessica sebelum ini memberitahu bahawa pada hari kejadian, dia telah meminum air mineral sedangkan dia sebenarnya memesan air cocktail.

Seterusnya, Jessica tidak pernah menunjukkan perasaan panik walaupun telah dituduh sebagai pembunuh. Sikap ‘tenang’ Jessica itu telah menimbulkan pelbagai persoalan. Akhir sekali adalah Jessica langsung tidak bersimpati atau bersedih dengan kematian Mirna. Hal ini kerana, secara logiknya jika kita kehilangan seseorang pasti perasaan sedih menyelubungi diri tetapi tidak buat Jessica. Difahamkan, Jessica juga sering tersenyum dan gelak di dalam mahkamah apabila ditanya mengenai kematian Mirna.

Angkara cinta tiga segi, Jessica lesbian?

Selain itu, terdapat beberapa andaian yang mencuri tumpuan orang ramai berkenaan kes pembunuhan Mirna. Antaranya ialah ada yang mendakwa bahawa kematian Mirna adalah angkara perbuatan si suami. Seorang wartawan mendakwa bahawa suami Mirna iaitu Arief ada memberikan wang yang sangat banyak kepada salah seorang pekerja di Olivier Café.

Untuk mengetahui perkara sebenar, bapa Mirna menawarkan hadiah kereta Ferrari kepada individu tersebut sekiranya dia bersetuju untuk menjadi saksi dan memberi keterangan mengenai kes tersebut. Walaupun begitu, sampai ke sudah kelibat individu tersebut langsung tidak kelihatan.

Selain itu, ada juga andaian yang mendakwa bahawa Jessica merupakan ‘lesbian’ atau meminati kaum sejenis. Dalam hal ini, Jessica dikatakan menyimpan perasaan terhadap Mirna. Bapa Mirna mendakwa ada terjumpa mesej antara Jessica dan Mirna. Dalam mesej tersebut, Jessica mengatakan bahawa dia sudah lama ingin dicium oleh Mirna. Tetapi dakwaan itu ditepis oleh Jessica dan dia menafikan tidak wujud percintaan segi tiga antara Jessica, Mirna dan Arief seperti yang dikatakan.

Seterusnya, ada seorang peguam mendakwa kemungkinan ada individu lain yang melakukan pembunuhan ke atas Mirna disebabkan insurans kematian Mirna di Australia. Bahkan, individu tersebut telah menjadikan Jessica sebagai kambing hitam dan dalang kes ini. Tetapi bapa Mirna memaklumkan bahawa Mirna memang mempunyai insurans kematian tetapi insurans tersebut bukanlah di Australia tetapi di Indonesia. Menurut bapa Mirna, duit insurans Mirna sudah pun dikeluarkan dan disedekahkan kepada mereka yang memerlukan termasuklah anak-anak yatim.

Pernah kritik teman lelaki Jessica

Namun, dakwaan Jessica merupakan dalang disebalik kematian Mirna dikuatkan lagi selepas pihak berkuasa yakin dengan keterangan yang diberikan saksi serta melihat daripada rekod-rekod Jessica sebelum ini.

Menurut laporan tempatan, Jessica dikatakan terlalu cemburu dengan kehidupan dan kebahagian Mirna. Malah ada yang mendakwa, Jessica terasa hati kerana dia tidak dijemput ke majlis perkahwinan Mirna dan Arief. Bukan itu sahaja, dia dikatakan marah dengan kawan baiknnya itu kerana Mirna pernah mengkritik teman lelaki Jessica dan meminta Jessica memutuskan hubungan dengan lelaki tersebut.

Selepas menjalani beberapa persidangan, Jessica akhirnya terbukti bersalah meletakkan racun sianida seberat 15 gram ke dalam kopi Mirna. Pada 27 Oktober 2016, Jessica Kumala Wongso dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun.

Sumber: Liputan6, CNN Indonesia, Youtube, Kompas TV, Singapura Berita Harian, Facebook

SKIP THIS AD ×