Sebelum ini viral sebuah video di mana seorang pelajar perempuan sanggup bermalam di atas pokok kerana mahu mendapatkan capaian internet yang kuat demi menjawab peperiksaan online. Terbaru, kisah pelajar yang dikenali sebagai Veveonah Mosibin itu mendapat perhatian Yayasan Nur Jauhar.
Diberi sumbangan
Menerusi Facebook Jabatan Penerangan Negeri Sabah, pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan daripada isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R.M. Jasni selaku penasihat Yayasan tersebut.
Menurut Naib Canselor UMS, Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin memberitahu bahawa pihak universiti juga telah bersetuju menyediakan biasiswa buat Veveonah sekiranya dia ditawarkan melanjutkan pengajian dalam program ijazah sarjana muda di universiti berkenaan.
Kita harap beliau akan mengharungi cabaran menuntut ilmu dengan baik dan semoga dia cemerlang dalam akademik sekali gus mendapat pekerjaan baik kelak.
Membina menara telekomunikasi
Sebelum ini, kisah Veveonah yang berasal dari Kampung Sapatalang turut mendapat perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Menurut SKMM, mereka telah merancang untuk membina menara telekomunikasi di kampung tersebut serta menambah baik liputan internet di kawasan sekitarnya.
Pertama sekali saya buat video itu hanya sekadar suka-suka selain ingin berkongsi pengalaman bagaimana saya menjawab peperiksaan dalam talian. Saya berterima kasih sekiranya ada pihak mengambil tindakan untuk kemajuan di kampung saya dengan membina menara telekomunikasi dan ini adalah harapan saya kerana internet sangat penting pada masa sekarang.
Ucapan terima kasih kepada pihak yayasan dan SKMM turut diucapkan Veveonah dan dia berharap sumbangan tersebut sebagai pembakar buat dirinya untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Sumber: Jabatan Penerangan Negeri Sabah & Bernama