Foto: Oddity Central
Hanya kerana mahu menjaga hati, seorang wanita dari negara China yang dikenali dengan nama Cheng Jing terpaksa menipu neneknya tentang kematian anak perempuannya (ibu Cheng Jing). Lebih menyedihkan apabila hasrat wanita itu untuk bertemu dengan anak tunggalnya tidak kesampaian sehinggalah disahkan meninggal dunia.
Terpaksa tipu sebab nak jaga hati
Foto: Oddity Central
Memetik laporan Oddity Central, wanita ini mengakui mereka nekad untuk menyembunyikan kematian ibunya, Cheng Congrong selama 13 tahun daripada pengetahuan nenek, Xi’an kerana bimbang wanita itu akan sedih dan tidak dapat menerima hakikat bahawa anak perempuannya itu pergi dahulu sebelum dirinya. Bukan itu sahaja, mereka juga risau akan kesihatan Xi’an apabila mendengar khabar duka itu.
Menurut sumber, Cheng Congrong telah meninggal dunia pada tahun 2003 akibat kanser paru-paru tetapi sebelum pemergiannya, dia sempat merakam puluhan rakaman suara yang ditujukan khas buat Xi’an. Mendiang berharap selepas ketiadaannya nanti, anaknya (Cheng Jing) akan memberi Xi’an mendengar rakaman suara tersebut supaya wanita itu tidak bimbang.
Upah wanita suara mirip ibu
Foto: Oddity Central
Cheng Jing hanya menuruti permintaan terakhir mendiang ibunya walaupun dia percaya suatu hari nanti neneknya pasti akan tahu itu adalah rakaman suara dan bukannya ‘panggilan telefon’. Rancangan itu berjalan dengan lancar selama beberapa tahun sehinggalah pada suatu hari Xi’an mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan suara dalam ‘panggilan telefon’ tersebut.
Menyedari hal itu, saya mengupah seorang wanita yang mempunyai suara mirip ibu untuk meyakinkan nenek bahawa anaknya berada dalam keadaan baik. Pada mulanya, nenek agak sangsi tetapi selepas diyakinkan cucu-cucunya, dia boleh menerima bahawa itu adalah suara ibu.
Difahamkan, Xi’an sangat merindui anak perempuannya itu memandangkan sudah 20 tahun mereka tidak berjumpa. Malah, Xi’an ada menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan anak perempuannya itu. Dia juga ada bertanya kepada cucu-cucunya mengapa Cheng Congrong tidak pulang untuk bertemu dengannya tetapi mereka hanya mampu memberi alasan bahawa wanita itu sibuk melayani cucunya di bandar.
Perkara itu berlarutan selama 13 tahun sehinggalah Xi’an disahkan meninggal dunia beberapa bulan selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100. Difahamkan, mendiang Cheng Congrong merupakan anak tunggal Xi’an. Kisah Cheng Jing telah viral di media sosial sehingga menyentuh hati netizen.
Sumber: Oddity Central