Siapa sangka, disebalik perwatakan yang lemah lembut dan sangat ramah, seorang wanita yang dikenali sebagai Leonarda Cianciulli ini merupakan seorang pembunuh bersiri. Di samping itu, dia terlalu mempercayai perkara karut seperti amalan pembunuhan manusia sehingga membawa padah kepadanya dirinya sendiri.
Buat sabun dan kuih
Kisah Leonarda ini membuatkan manusia berfikir mengenai bahan yang digunakan olehnya ketika melarutkan mayat kesemua mangsa. Leonarda telah menggunakan soda kaustik, bahan untuk pecahkan kayu setelah selesai melakukan setiap pembunuhan. Dia juga akan mengambil lemak dan daging mangsa untuk dijadikan sabun.
Bagi membuat kek pula, darah daripada mangsa yang sudah diasingkan di dalam baldi itu akan dibekukan sebelum dikeringkan menggunakan oven. Selepas dikeringkan Leonarda akan mencampurkannya dengan tepung. Dari situ, dia akan menggunakan tepung tersebut untuk membuat kek dan memberikan kepada jiran-jirannya.
Bercerita mengenai kehidupan peribadi, Leonarda pernah cuba untuk bunuh diri sebanyak dua kali sebelum dia meningkat dewasa. Dia juga sempat berkahwin dengan seorang kerani, namun perkahwinan tersebut telah dihalang oleh ibu bapanya kerana mereka mempunyai calon yang lebih sesuai untuk Leonarda. Oleh kerana terlalu degil, ibu Leonarda telah menyumpah yang hidup anaknya itu tidak akan aman sampai bila-bila. Beberapa tahun selepas mendirikan rumah tangga, Leonarda dipenjarakan atas kesalahan penipuan dan rumahnya telah musnah ekoran gempa bumi yang terjadi pada masa tersebut. Lebih menyedihkan, dia pernah mengandung sebanyak 17 kali dan telah mengalami keguguran sebanyak 13 kali. Keguguran tersebut dikaitkan dengan sumpahan ibunya termasuk penyakit misteri yang dialami semasa kecil.
Oleh kerana sering ditimpa kecelakaan, Leonarda membuat keputusan untuk berjumpa dengan seorang penilik nasib, iaitu seorang wanita Romanian yang mendorongnya untuk melakukan jenayah. Semasa berjumpa penilik nasib tersebut, penilik itu memberitahu bahawa dia nampak tangan kanan Leonarda akan membawanya ke penjara semula, manakala tangan kirinya pula akan membawanya ke rumah sakit mental kerana melakukan jenayah. Tertekan dengan sumpahan ibunya dan kata-kata penilik nasib tersebut, Leonarda menjadi lebih percaya pada benda-benda tahyul.
Kisah pembunuhan pertama
Pada akhir tahun 1939, anak lelakinya, Giuseppe memberitahu yang dia hendak menyertai pasukan tentera Itali. Oleh kerana takut kehilangan anaknya, Leonarda mengikut cakap penilik nasib tersebut untuk membunuh manusia bagi menyelamatkan nyawa anaknya sekiranya berlaku sesuatu.
Mengenai pembunuhan pertama, Leonarda telah memilih Faustina Setti sebagai mangsanya. Wanita tersebut merupakan seorang yang berusia dan diberi gelaran ‘anak dara tua’ oleh penduduk setempat. Leonarda telah membuat perjanjian dengan Faustina bahawa dia akan menemui jodoh tidak lama lagi. Ini kerana, ada seorang lelaki di Poland telah lama menunggunya untuk dijadikan sebagai isteri. Leonarda kemudian meyakinkan Faustina untuk tidak memberitahu sesiapa tentang perkahwinan yang dirancang itu dan dia menyuruh wanita malang tersebut untuk menulis poskad kepada saudara-maranya mengatakan yang dia sudah tiba di Poland.
Malangnya, yang menanti Faustina bukanlah bakal suami yang diimpikan itu, tetapi sebaliknya adalah kapak Leonarda. Selepas membunuh, Leonarda memotong mayat Faustina kepada sembilan bahagian sebelum mencairkan mayat tersebut di dalam periuk. Leonarda meletakkan kesemua cebisan mayat ke dalam periuk sebelum menambahkan tujuh kilo soda kaustik yang dibeli olehnya untuk membuat sabun. Manakala untuk darah pula, dia menunggu darah tersebut sehingga beku dan dikeringkan terlebih dahulu sebelum dicampurkan dengan tepung, gula, coklat, susu dan telur serta sedikit marjerin untuk membuat kek. Kek yang sudah siap itu dihidangkan kepada semua tetamu dan jiran-jiran yang hadir ke rumahnya.
Dijanjikan pekerjaan
Francesca Soavi merupakan mangsa kedua Leonarda yang dijanjikan pekerjaan di sekolah perempuan di Piacenza, Itali. Leonarda memberikan arahan yang sama kepada Francesca, untuk menulis poskad yang boleh diberikan pada ahli keluarganya sejurus dia sampai ke sekolah tersebut. Kemudian, Leonarda bunuh wanita ini dengan cara yang sama iaitu kerat badan mangsa dan menghasilkan sabun dan kek.
Setelah selesai membunuh Francesca Soavi, Leonarda meneruskan misi membunuh mangsa ketiganya iaitu seorang penyanyi opera yang sudah kehilangan pekerjaan. Penyanyi opera tersebut dikenali sebagai Virginia Cacioppo. Leonarda mengambil peluang yang ada untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada wanita tersebut di sebuah ‘teater misteri’. Teruja dengan tawaran yang diberikan, Virginia telah menerima tawaran tersebut sekaligus menjadikannya mangsa ketiga.
Kantoi dan kena penjara
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua merupakan peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan nasib Leonarda selepas melakukan tiga pembunuhan. Walaupun dia telah cuba sedaya upaya untuk menghapuskan kesemua bukti mengenai pembunuhan yang dilakukan, Leonarda terlepas pandang satu perkara. Tidak seperti dua mangsa sebelum ini, mangsa ketiganya iaitu Virginia mempunyai seorang kakak ipar yang sangat suka mengambil tahu mengenai hal orang lain. Oleh itu, dia tidak percaya mengenai surat yang diberikan oleh Virginia sewaktu hendak meninggalkan mereka sekeluarga. Malah, dia ternampak adik iparnya itu memasuki rumah Leonarda pada malam sebelum dia ‘hilang’.
Kerana merasakan ada sesuatu yang tidak kena, kakak ipar Virginia telah melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis. Pada awalnya, Leonarda tidak mengaku terhadap kesemua pertuduhan yang dikenakan. Namun, apabila pihak polis mula menunding jari kepada anaknya, dia terus mengaku dan mengatakan anaknya tak terlibat dengan perbuatan jenayahnya ini. Perbicaraan kes Leonarda ini hanya mengambil masa beberapa hari saja. Mahkamah telah mendapati Leonarda bersalah dan dia telah dikenakan hukuman penjara selama 33 tahun.
Berbalik kepada kisah penilik nasib yang dijumpai Leonarda, semua hukuman yang diramalkan oleh penilik itu adalah benar sama sekali. Ini kerana, Leonarda telah dipenjarakan selama 30 tahun dan perlu duduk di dalam rumah sakit mental selama tiga tahun bagi tempoh pemantauan. Pada tahun 1970 iaitu semasa tahun terakhir ketika berada di rumah sakit mental, Leonarda dilaporkan sudah meninggal dunia akibat pendarahan dalaman pada usia 79 tahun. Mayat wanita ini dipulangkan kepada keluarganya untuk upacara pengebumian manakala, senjata pembunuhan termasuk periuk dan sabun yang dihasilkan olehnya telah didermakan kepada Muzium Kriminologi di Rome, Itali untuk dipamerkan.
Sumber: Ranker