Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan kejadian gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi. Kejadian bencana tersebut telah meragut seramai lebih 1000 nyawa setakat ini selain memusnahkan puluhan ribu bangunan dan kediaman.
Artikel Berkaitan: Profesor Dari Jepun Beri Amaran Gempa Susulan Lebih Kuat Di Sulawesi
Terbaru, Kepulauan Sulawesi terus dikejutkan dengan gunung berapi Soputan yang terletak di Kabuten Minahasa, Provinsi Sulawesi Utara, meletus pagi tadi.
Mengeluarkan abu vulkanik
Menerusi Berita Harian, seawal jam 8.47 pagi (waktu Indonsia Timur), Gunung terbabit mengeluarkan abu vulkanik setinggi 4000 meter berwarna kelabu. Namun, kepulan abu tersebut dilaporkan tidak menjejaskan aktiviti penduduk sekitarnya atau operasi penerbangan pesawat kerana ianya menghala ke arah barat laut.
Arahan larangan aktiviti di sekitar gunung
Pihak berkuasa Indonesia sudah mengeluarkan arahan melarang penduduk melakukan aktiviti di sekitar 4 kilometer dari gunung terbabit kata Sutopo Purwo Nugroho, Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).
Tambah beliau lagi, perkembangan letusan gunung berapi itu sedang dipantau oleh BNPB serta Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) buat masa ini.
CNN Indonesia juga melaporkan, Kasbani, Ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana (PVMBG) Badan Geologi berkata, penduduk sekitar juga dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai penutup mulut bagi mengelak saluran pernafasan terseumbat akibat daripada hujan abu.
Potensi aliran lava
Menerusi The Jakarta Post, amaran potensi aliran lava selepas hujan turut diberikan kepada penduduk berdekatan tebing sungai berhampiran gunung iaitu sungai Ranowangko, Lawian, Popang dan Kelewahu.
Sumber: Berita Harian, CNN Indonesia, The Jakarta Post