berita

Hadiah Allah Atas Kesedihan Rasullah, Ini Sebab Mengapa Hari Israk & Mikraj Sangat Istimewa

March 11th, 2021 | by Shafika
Kini Trending

Bulan Rejab merupakan bulan istimewa dimana pintu rahmat terbuka luas untuk bertaubat yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada umat-Nya. Pada 27 Rejab mencatatkan peristiwa penting dalam kerasulan Nabi Muhammad SAW iaitu perjalanan Baginda ke langit ketujuh.

Peristiwa penting ini disambut oleh orang Islam di seluruh dunia bagi memperingati perjalanan luar biasa baginda selepas mengalami tekanan dan kesedihan melampau. Ini sebab mengapa Israk dan Mikraj adalah sangat mulia dan istimewa.

Perjalanan Rasullulah yang hebat

Peristiwa ini berlaku setahun sebelum hijrahnya Nabi Muhammad SAW ke Madinah bersamaan tahun 721 Masihi. Ia berlaku di tengah-tengah tekanan dan hinaan yang kuat yang dialami oleh Rasulullah dan sahabat daripada kelompok Musyrikin Makkah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab. Peristiwa Israk Mikraj perlu dijadikan iktibar bagi seluruh umat Islam yang menggambarkan betapa pentingnya proses tarbiah (pendidikan) jiwa ke arah kesempurnaan. Israk Mikraj turut membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah. Bukti paling nyata Dia berkuasa ‘membenarkan’ Rasulullah diangkat ke langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang singkat.

Menurut ulama, peristiwa Israk dan Mikraj Nabi itu ialah roh dan jasadnya sekali. Bukannya roh saja atau mimpi. Baginda telah di‘Israk’kan (dibawa berjalan) dengan menggunakan`Buraq’, dari Masjidil Haram di Kota Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmuqaddis, Palestin serta di‘Mikraj’kan (dibawa naik ke atas) ke Sidratul Muntahauntuk mengadap Allah SWT.

Mengapa istimewa dan mulia


Sebelum terjadi Israk Mikraj, Nabi Muhammad SAW alami tekanan melampau selama 3 tahun kerana kehilangan dua orang tersayang iaitu bapa saudara yang dicintai baginda iaitu, Abu Talib yang meninggal dalam keadaan tidak menjadi seorang Muslim dan isterinya, Khadijah binti Khuwailid. Bukan itu sahaja, baginda turut diuji apabila diboikot oleh seluruh Bani Hashim dan Bani Al-Mutalib sehinggakan ketika itu segala urusan jual beli orang Islam tidak diterima. Tak cukup dengan itu, Nabi Muhammad SAW pernah kelaparan akibat krisis ini dan seluruh umat Islam diuji dengan ujian sangat dahsyat ketika ini. Pemulauan itu dikatakan berlaku selama tiga tahun. Kesedihan demi kesedihan demi kesedihan yang dialami Rasulullah SAW begitu meruntun jiwa Baginda SAW.

Akibat kesedihan melampau, Allah SWT merawat dan menghiburkan semula jiwa Baginda untuk merasai  perjalanan istimewa, naik menghadap dan bertemu dengan Sang Pencipta. Detik inilah yang dinamakan al-Israk dan al-Mikraj. Dipetik dari Bahagian Dakwah, Jakim kisah-kisah dalam peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi sesuatu yang amat menakjubkan kerana ia tidak sama dengan cara perjalanan ditempuh oleh manusia biasa. Perjalanan ini adalah perjalanan istimewa menggunakan kenderaan Allah yang kelajuannya tidak boleh ditandingi dengan apa saja kenderaan yang direka oleh manusia. Sebelum baginda memulakan perjalanannya, hati baginda dibersihkan oleh Malaikat Jibril a.s. dengan air suci Zam Zam. Sepanjang perjalanan apabila sampai tempat-tempat yang tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersolat sebanyak dua rakaat.

Teladani akhlak Nabi Muhammat SAW

Peristiwa besar itu umpama penawar bagi segala duka umat Islam ketika itu. Ia turut menjadi sumber kekuatan Baginda SAW dan sahabat selepas melalui pelbagai peristiwa sedih yang menekan jiwa. Dalam peristiwa ini jugak, solat 5 waktu telah difardukan ke atas umat Islam melalui Rasulullah SAW sebagai hadiah untuk ‘berkomunikasi’ terus kepada Allah SWT. Itulah pentingnya solat buat umat Islam kerana itu cara bagi kita ‘bercakap’ dengan Allah SWT. Israk Mikraj berlaku umpama menguji iman Rasulullah SAW dan sahabat Baginda. Ujian rohani dan jasmani berterusan bukan sahaja ke atas Rasulullah SAW, malah sahabat Baginda diuji keimanan melalui tekanan politik dan psikologi. Baginda bukan sahaja diuji dengan pelbagai kesukaran hidup, malah diejek kononnya Rasulullah SAW tidak waras dan tidak lagi layak memimpin umat Islam di Kota Makkah.

Walaupun kita sebagai umat Islam tidak pernah bertemu Nabi Muhammad SAW, namun Baginda meninggalkan agama Islam yang mudah yang penuh dengan pengorbanan para sahabat dan Baginda Rasulluah SAW menegakkan agama Islam yang sampai kepada kita hari ini. Kita beruntung menjadi umat Nabi Muhammad SAW kerana Baginda penghulu dan penutup sekalian Nabi dan Rasul.

Sekiranya kita mampu menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa Israk dan Mikraj itu, pasti kita akan berlumba-lumba melakukan kebaikan dan mencari redha Allah. Justeru itu, marilah kita jadikan peristiwa Israk Mikraj sebagai pedoman sebagai titik permulaan untuk menjadi lebih baik. Bersyukurlah dengan sebarang ujian yang menimpa kerana setiap yang berlaku mempunyai hikmah tersembunyi dan ingatkan Rasullulah SAW diuji ujian lebih dahsyat yang tiada tandingan.

Sumber :Mdyan, MuftiWP, Wikipedia

The following two tabs change content below.

Shafika

Content Champion at Rev Asia Berhad
I'm not fat, I'm just easy to see

SKIP THIS AD ×