Seorang rakyat Malaysia dilaporkan positif wabak coronavirus hari ini selepas Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Zulkefly Ahmad mengumumkan berita tersebut.
Mendapatkan rawatan di hospital
Menerusi laporan Berita Harian, lelaki tersebut dipercayai berkunjung ke Singapura dari 16 hingga 22 Januari lalu bagi menghadiri satu mesyuarat bersama delegasi antarabangsa termasuk China. Setibanya di Malaysia pada 23 Januari lalu, lelaki tersebut dipercayai mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Selangor selama enam hari ekoran mempunyai simptom demam dan batuk.
Jadi, ini adalah kes pertama jangkitan coronavirus, membabitkan rakyat kita.
Beliau disahkan positif 2019-nCOV semalam dan pesakit kini berada dalam keadaan stabil.
Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan turut memaklumkan bahawa lelaki tersebut sudah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 2 Februari lalu dan diletakkan di wad pengasingan. Namun, pesakit tersebut dilaporkan berada dalam keadaan yang stabil.
Keluarga turut berada dalam pemantauan
Berhubung keluarga mangsa yang dijangkiti wabak berkenaan, Kementerian memberitahu bahawa aktiviti pengesanan kontak sudah dimulakan. Kesemua mereka diletakkan di bawah pemantauan di rumah.
Selain itu, pihak kementerian menjalankan pengesanan kontak terhadap kontak rapat lelaki terbabit sepanjang berada di Malaysia dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut. Setakat ini jumlah kes berhubung wabak coronavirus di Malaysia dicatatkan sebanyak 10 kes.
Sumber: Berita Harian