Didakwa tidak mahu lagu bertanding sebagai penyanyi dan hanya akan menghantar karya ciptaannya sahaja di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), Hael Husaini tidak mengiyakan mahupun menidakkan perkara tersebut.
Artikel Berkaitan: #AJL39: Hael Husaini Anggap Kejayaan Bersama Kalau Nadeera Zaini Jadi Juara – ‘Dia Kongsi Rezeki Besar Dengan Saya’
Artikel Berkaitan: #AJL39: Neelofa Ramal Nadeera Zaini Sebagai Juara
Tak bertanding
Menepis dakwaan merajuk dengan AJL, Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi bagaimanapun berkata, dia tidak akan berhenti sepenuhnya sebagai penyanyi di acara berprestij itu, namun hanya berehat seketika.
Jelasnya, selepas ini dia ingin menghasilkan lebih banyak karya dengan penyanyi yang sudi bekerjasama dengannya.
Ada betulnya, tapi saya tidaklah berhenti terus. Cuma tahun ini lebih fokus pada anak syarikat saya sebab dalam masa empat tahun saya berehat sebelum ini.
Banyak artis yang mahu bekerjasama dengan saya tapi saya tiada masa dan peluang. Jadi untuk tahun ini saya mahu tunaikan semua itu.
Saya tidak pernah merajuk dengan AJL. AJL adalah antara titik mula ‘Hael Hussaini’ diperkenalkan semua rakyat Malaysia sebenarnya.
Cuma perancangan akan datang, saya mahu memperbanyakkan lagi karya saya supaya rakan artis yang ingin bekerjasama dengan saya sebelum ini dapat ditunaikan.
Hael berkata demikian ketika ditemui di majlis pertunjukan fesyen koleksi jenama Amber bertemakan ‘Raya Romantics’ di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada Isnin.
Lebar sayap ke Indonesia
Selepas kejayaan lagu ‘Bukan Lagi Kita’ berjaya meraih naib juara di AJL39, Hael berkata, dia mahu mencuba melebarkan sayap ke pasaran Indonesia.
Saya akan berehat sebentar dan fokus dengan ‘first baby’ iaitu anak syarikat terbaharu, Huge Entertainment di mana saya akan bekerjasama dengan ramai artis luar dan dalam negara.
Sebab saya sudah berehat selama empat tahun dan terakhir saya menghasilkan ‘Peluang Kedua’ dan saya mula balik dengan ‘Bukan Lagi Kita’ yang mendapat sambutan, jadi untuk tahun ini saya mahu fokus dengan artis yang sudi bekerjasama dengan saya.
Projek pertama Huge Entertainment adalah Nadeera, alhamdulillah mendapat sambutan dan selepas ini saya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana artis yang mahu bekerjasama dengan saya. Doakanlah agar semua impian saya tahun ini direalisasikan.
Berkongsi lanjut, Hael berkata, kerjasama dengan artis luar negara dilihat mampu membuktikan bahawa karya anak tempatan juga mempunyai kualiti yang baik.
Kerjasama ini mampu memberi impak positif pada kita, tapi penyanyi dari negara mana atau siapa, belum boleh saya kongsikan sekarang.
Ada beberapa penyanyi, insya-Allah. Ini adalah peluang besar untuk saya anak tempatan membina nama sebagai pencipta lagu.
Saya mahu orang luar tahu bahawa Malaysia juga mempunyai kualiti yang boleh diangkat di peringkat lebih tinggi.