Penyanyi, Hafiz Suip tidak mahu berkongsi lanjut mengenai konflik rumah tangganya bersama isteri, Nureffy Jasreel Abdullah yang kini dalam proses untuk berpisah.
Artikel Berkaitan: Hafiz Suip Mengaku Dalam Proses Cerai, Sedia Lepaskan Isteri Secara Baik Jika Tiada Persefahaman – ‘Saya Tak Nak Rumitkan Keadaan’
Tak nak ganggu persediaan AJL39
Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Mohamad Hafiz Mohamad Suip ini enggan berbuat demikian kerana mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada persiapan Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang bakal berlangsung kurang sebulan sahaja lagi.
Bila nak dekat dengan Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) ini kalau boleh saya nak berikan fokus sepenuhnya.
Kalau saya bahaskan isu peribadi ini saya takut ia akan mengganggu perjalanan proses nanti.
Apa yang boleh saya katakan ialah kami sedang menunggu hal berkaitan dengan mahkamah. Buat kami, saya doakan semuanya berjalan dengan lancar, tak adanya persengketaan dan berpisah dengan cara baik.
Walau bagaimanapun, pelantun lagu ‘Awan Nano’ ini berharap agar segala urusannya berjalan dengan lancar dan tiadanya sengketa bersama isteri.
Apa yang saya boleh cakap ialah saya masih lagi suami orang cuma kami tidak lagi sebumbung dan dalam proses untuk berpisah.
Pada saya, ini adalah ujian yang saya perlu terima dengan hati yang terbuka. Saya tahu ini agak berat tetapi saya belajar untuk bersyukur dalam apa jua keadaan.
Musibah macam mana sekalipun, kita perlu bersyukur dengan ujian yang Allah nak bagi. Saya harapkan doa yang baik-baik daripada orang yang sayang saya serta peminat-peminat saya.
Apa yang boleh saya katakan ialah kami sedang menunggu hal berkaitan dengan mahkamah. Buat kami, saya doakan semuanya berjalan dengan lancar, tak adanya persengketaan dan berpisah dengan cara baik.
Hafiz berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada malam sesi Mega Live AJL39 yang diadakan di Tanamekar The Hill, Petaling Jaya pada malam Sabtu.
Akan sentiasa ada untuk anak
Dalam pada itu, Hafiz mengakui bahawa dua cahaya matanya akan terkesan dengan perpisahan yang bakal berlaku namun memberi jaminan akan sentiasa bersama mereka dalam apa jua keadaan.
Ramai akan cakap anak-anak akan terseksa. Ya, betul tetapi saya kena berani menerima dan berdepan dengan perkara seperti ini.
Untuk berita ini saya ada beritahu anak-anak sebab lambat laun mereka akan tahu. Saya tak nafikan mereka akan terseksa cuma saya berdoa agar anak saya faham dan diberikan kekuatan.
Apa yang saya boleh cakap ialah saya mahukan yang terbaik dan nak anak-anak tahu bahawa saya masih lagi ayah mereka dan saya sayang sangat mereka.
Kalau apa-apa jadi pada mereka, saya akan buat apa sahaja untuk mereka.
Ketika disoal mengenai cara dirinya menenangkan diri, Hafiz berkata dia sering mendekatkan dirinya bersama orang yang sentiasa memberikan aura positif.
Cara saya tenangkan diri saya adalah dengan mencari orang yang sayangkan saya. Kalau orang dah tak sayangkan kita, kenapa kita nak terkejar-kejar dan memaksa kan?
Saya selalu positifkan minda serta diri saya serta sentiasa bersama dengan orang-orang yang positif.
Dalam kehidupan, saya belajar untuk tidak memaksa orang dalam apa jua keadaan.
Saya masih ada ibu, ayah, keluarga dan rakan-rakan. Selebihnya saya banyak dekatkan diri dengan Allah.
Terdahulu, Hafiz menerusi temu bual bersama Melodi melaporkan dirinya dan isteri sudah tidak lagi sebumbung dan dalam proses untuk berpisah.
Tambah Hafiz, dia dan isteri juga masih berbincang tentang hak penjagaan anak sekiranya mereka ditakdirkan berpisah kelak.
Untuk rekod, Hafiz dan Nureffy mendirikan rumah tangga pada 16 Mei 2016 dan Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5 tahun.