Pada Ahad lalu, pelakon Shima Anuar terpaksa menjalani pembedahan menggugurkan kandungan selepas disahkan hamil luar rahim.
Artikel Berkaitan: Hamil Luar Rahim, Shima Anuar Terpaksa Jalani Pembedahan – ‘Saya Hilang Banyak Darah & Anak Dalam Kandungan ..’
Memang sakit sangat
Bercerita pengalaman ngeri, Shima, 30, mendedahkan dia hampir kehilangan nyawa selepas kehilangan 2.5 liter darah.
Disebabkan hilang banyak darah, wajahnya bertukar menjadi putih dan pucat selain dia tidak boleh bergerak langsung sejurus selepas pembedahan.
Doktor cakap, saya hampir kehilangan nyawa. Saya mengalami kekurangan darah sehingga 2.5 liter. Tekanan darah saya 60/30 dan wajah saya kelihatan sangat putih dan pucat.
Tetapi saya sangat berterima kasih pada Dr. Susanna yang merawat. Ia adalah satu pengalaman yang mengerikan, memang sakit sangat-sangat.
Pengalaman itu satu mimpi ngeri dan sangat menakutkan sehingga saya tidak boleh bercakap atau bergerak langsung. Selepas menjalani pembedahan, saya tidak dapat memberikan sebarang maklum balas sehingga ditempatkan di ICU.
Anggap sebagai ujian
Dalam pada itu, pemilik nama Noor Hashimah Anuar berkata dia tidak terfikir prosedur menggugurkan kandungan di luar rahim mampu meragut nyawa ibu hamil.
Biarpun tidak ada rezeki untuk menimang cahaya mata ketiga, pelakon filem Highland Towers bersyukur dia masih selamat dan anggap kehilangan ini sebagai ujian untuk dia.
Saya sendiri tidak menyangka membuang kandungan di luar rahim ini boleh membuatkan saya hampir kehilangan nyawa. Syukur semuanya sudah selamat, cuma terlalu sakit.
Kena potong di tempat pembedahan ketika bersalin dulu, cuma sakitnya lebih terasa lagi. Saya anggap ini sebagai ujian dan saya reda dengan ketentuan-Nya.
Untuk rekod, Shima berkahwin dengan ahli perniagaan, Mohd Solih Toha, 54, pada 8 April 2017. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Marian Sophia, 3, dan Mikhael Imaan, 2.
Sumber: Instagram @shimaanuar