Seorang pengasuh di Singapura telah dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun selepas meracun dengan pelbagai ubat-ubatan terhadap dua orang bayi yang berusia lima dan 11 bulan. Perbuatan tersebut dilakukan oleh suspek sekitar tahun 2016 hingga 2017 dahulu.
Mangsa sentiasa mengantuk
Menerusi laporan yang dipetik daripada Berita Mediacorp, suspek yang dikenali dengan nama Sa’adiah Jamari merupakan seorang pengasuh bebas dan jururawat berdaftar. Namun pada tahun 2016, ibu bapa kedua-dua mangsa yang tidak mempunyai ikatan persaudaraan itu dikatakan telah mengupah suspek untuk mengasuh anak mereka.
Tetapi lain pula yang jadinya apabila orang yang sepatutnya dipertanggungjawabkan untuk mengasuh rupa-rupanya tergamak meracuni anak asuhannya. Menurut sumber, kejadian tersebut disedari oleh ibu bapa kedua-dua mangsa apabila melihat anak mereka berada dalam keadaan lemah dan mengantuk sebaik sahaja pulang dari rumah pengasuh. Ibu bapa mangsa mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan anak mereka.
Banyak ubat-ubatan dalam badan
Namun selepas dimasukkan ke hospital, doktor mendapati terdapat beberapa jenis ubat-ubatan dalam tubuh badan mangsa seperti Alprazolam atau Xanax untuk merawat keresahan, ubat penenang dan ubat tidur. Lebih mengejutkan lagi apabila mendapati ubat yang sama turut ditemui dalam sistem tubuh badan Sa’adiah.
Bukan itu sahaja, ubat-ubatan itu turut berada dalam rumah suspek dan ada di antaranya telah diberikan atas arahan doktor. Sementara itu, dalam soal siasat sebelum ini, Sa’adiah mengaku telah menghancurkan ubat-ubatan tersebut dan dicampurkan dengan air sebelum diberikan kepada salah seorang mangsa.
Tetapi apabila di mahkamah, suspek telah menafikannya. Dalam perbicaraan terbaru, pihak mahkamah telah menjatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun terhadap Sa’adiah. Walaupun begitu, Sa’adiah masih menafikan tindakannya itu dan akan mengemukakan rayuan. Bagi setiap tuduhan memberi racun dengan niat untuk menyakiti, Sa’adiah boleh dipenjara hingga 10 tahun dan didenda. Dia tidak boleh disebat kerana dia seorang wanita.
Sumber: Berita Mediacorp