Bagi sesetengah orang, ibu bukan sahaja insan yang melahirkan, tetapi juga pendorong utama kejayaan dalam hidup. Begitulah yang dikongsikan oleh pelakon dan model, Haneesya Hanee yang mengakui tidak pernah berkira dengan ibunya soal wang.
‘Duit saya, duit mommy juga’
Menurut Hanesya atau nama lengkapnya, Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 25, memberitahu bahawa dia memberi kebebasan penuh kepada ibunya untuk menggunakan wang hasil titik peluhnya.
Ya, kad bank saya memang ada dengan mommy. Dia bebas guna sampai habis pun saya tak kisah. Sebab duit saya, duit mommy juga. Lagipun, bukan saya seorang je yang bekerja. Mommy pun bekerja dengan saya. Korang je yang tak nampak kerja yang dia buat.
Menurutnya Haneesya lagi, ibunya tidak hanya berperanan sebagai seorang ibu tetapi turut bertindak sebagai pengurus, pembantu peribadi, pemandu, dan juga motivator dalam kehidupan sehariannya.
Hanesya berkongsi perkara itu di Instagram Story selepas selepas diajukan soalan oleh seorang individu yang bertanyakan adakah benar dia memberikan keseluruhan gaji kepada ibunya.
‘Rezeki saya dapat ni dari doa mommy’
Tambah Haneesya, dia percaya bahawa rezeki dan apa yang dimilikinya kini adalah berkat doa ibunya yang tidak pernah putus.
Saya percaya, rezeki yang saya dapat ni sebenarnya dari doa mommy. Doa seorang ibu tu mahal sebab Allah akan makbulkan doa itu.
Saya rasa apa yang saya beri sekarang pun belum cukup untuk membalas semua yang mommy dah buat untuk saya.
Dia juga berkongsi tentang satu momen yang cukup menyentuh hati apabila melihat senyuman bangga ibunya ketika membeli barang menggunakan wang pemberian anak-anak.
Pernah tak korang tengok wajah ibu korang bila dia beli barang guna duit anak-anak? Wajah yang bangga itu yang saya mahukan.
Tapi sebenarnya, mommy tak pernah sanggup guna duit saya. Bila dia nak pakai duit, dia mesti minta dulu, dan saya akan jawab ‘pakai je lah mommy’. Duit tu tak akan habis, serius cuba buat dulu.
Haneesya juga sempat berpesan kepada orang ramai supaya berkongsi rezeki dengan ibu bapa selagi masih diberi peluang.
Sumber: Instagram Haneesya Hanee