Sudah pasti ramai yang mengagumi bakat yang ditampilkan oleh aktres jelita ini bukan? Hanez tidak pernah gagal untuk menampilkan mutu lakonan yang mantap dalam setiap naskhah yang diberikan.
Terbaru, Hanez dikhabarkan akan bergandingan bersama AG Hot FM untuk menjadi pengacara di malam gala ‘Cinta Tanpa Sempadan’ yang akan berlangsung pada 14 Februari depan di The Royale Chulan Kuala Lumpur.
Ketika ditemui di sidang media semalam, Hanez yang buat pertama kalinya menjadi pengacara majlis itu mengakui bahawa dia sememangnya dibanjiri dengan tawaran dalam bidang pengacaraan sejak mula bertapak dalam industri lagi.
Hanez akui masih perlu banyak tunjuk ajar dan bimbingan untuk bidang pengacaraan
“Memang banyak tawaran yang Hanez dapat, tetapi tak semua Hanez ambil sebab Hanez masih kekok untuk mengacara berseorangan. Kalau ambil pun semuanya yang rakaman sahaja. Ini yang pertama buat program siaran langsung. Tapi nasib baiklah saya akan mengacara bersama AG, saya harap dia akan bantu saya”- Hanez Suraya.
Selain itu, Hanez juga bakal mengembangkan kerjayanya dalam bidang teater selepas ini apabila menerima tawaran untuk menjayakan sebuah teater arahan pelajar UiTM. Sebagai persediaan, Hanez akan mengambil kelas teater selama sebulan secara persendirian untuk memantapkan lagi mutu lakonan dirinya.
Bagi mereka yang ingin melihat Hanez mengacara dan sekaligus berhibur bersama Dato’ Rossa, anda boleh mendapatkan tiket yang bermula dengan harga RM350 hingga RM1000. Malam gala ini juga bakal menampilkan Afgan dan Jamal Abdillah sebagai artis undangan.
Tak puas lagi melihat wajah Hanez? Di sini OHBULAN! kongsikan foto Hanez di sidang media semalam.