Memang tidak dapat dinafikan, pada ketika dahulu, kebanyakan golongan lelaki segan untuk membeli tuala wanita kerana bagi mereka itu adalah satu perkara yang agak ‘memalukan’. Walaupun begitu, masyarakat kini dilihat semakin bersikap terbuka dan tidak lagi menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang sensitif.
Terbaru, tindakan seorang lelaki ‘memborong’ tuala wanita untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan mendapat pujian netizen. Terbaik lah!
Borong tuala wanita
Berdasarkan perkongsian di Twitter memaparkan seorang lelaki yang dikenali dengan nama Mohamad Farid Yusoff bergambar dengan dua troli yang dipenuhi dengan tuala wanita. Difahamkan, Farid telah membeli sebanyak 100 pek tuala wanita untuk diberikan kepada golongan wanita yang memerlukan.
Individu ini mengakui pada awalnya dia berasa segan lebih-lebih lagi kebanyakan pelanggan di dalam premis itu memandangnya.
Memetik laporan Harian Metro, Farid yang juga pengasas Pertubuhan Ziarah Amal Kampung To Kampung (K2K) memaklumkan, dia ingin memberikan tuala wanita itu kepada gelandangan, ibu tunggal dan golongan kurang berkemampuan di sekitar Batu Kawan, Pulau Pinang.
Ini adalah permulaan dan saya berharap inisiatif saya menjadi inspirasi kepada individu di luar sana terutama lelaki untuk turut sama membantu wanita yang memerlukan.
‘Jangan malu-malu tau’
Perkongsian Farid di Twitter telah mendapat pelbagai respon daripada netizen yang rata-ratanya memuji tindakan yang dilakukannya. Malah mereka turut berbangga kerana individu ini sanggup mengetepikan perasaan malu hanya kerana mahu membantu golongan yang memerlukan.
Sumber: Mohamad Farid Yusoff, Harian Metro