Meskipun sudah tiga tahun usia perkahwinan, pelakon Hannah Delisha mengakui dia dan suami, Imam Shah, belum lagi bersedia untuk menimang cahaya mata.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Hannah Delisha ‘Flying Kiss’ Dekat Suami, Peminat Suka Tengok Kemanisan Pasangan Ini
Tanggungjawab besar
Menurut Hannah, 27, dia dan suami tidak tergesa-gesa soal zuriat kerana sedar itu satu amanah besar yang kena dipikul. Bagaimanapun, sekiranya diberikan rezeki, dia menginginkan empat orang anak.
Saya dan Imam memang sudah terfikir pasal ada zuriat. Tapi itu semua atas keizinNya juga. Alangkah baik jika dikurniakan dua anak tapi kalau Allah nak bagi rezeki lebih, empat anak sudah cantiklah.
Tanggungjawab ada anak ini sangat besar. Bahkan, jaga kucing sekali pun tanggungjawab sangat besar. Apatah lagi seorang anak.
Tambah pemilik nama Hannah Adlina Blackburne Birch, apabila tiba masa yang tepat, dia ingin meluangkan masa sepenuhnya kepada anak.
Kami nak pastikan betul-betul bersedia kerana bila ada anak, saya mahu luangkan masa sebaiknya dengan anak saya. Juga beri perhatian penuh kepadanya.
Kita tengoklah nanti, bila saya rasa kerja macam tak terlalu sibuk, kami cubalah. Tapi itulah, apa sekalipun, akhirnya nanti ia bergantung kepada keizinan Allah.
Bekerja & jaga anak mencabar
Dalam pada itu, pelakon drama Mencintaimu Mr. Photographer kagum dengan kekuatan golongan ibu yang bekerja dan masa sama sibuk menguruskan urusan anak.
Terus-terang, saya memang kagum sangat dengan ibu-ibu yang boleh kerja dan pada masa sama jaga anak. Bukan mudah sebab mak saya sendiri pun seorang ibu tunggal. Saya nampak cabaran dia jaga dan besarkan anak sambil bekerja.
Setakat ini, orang sekeliling pun tak menekan saya pasal zuriat. Kalau diaju soalan itu, saya cuma minta mereka doakan agar saya beroleh rezeki kelak.
Terdahulu, Hannah dan Imam mendirikan rumah tangga secara rahsia pada 2020 sehingga mengundang kontroversi apabila timbul spekulasi mendakwa perkahwinan tersebut tidak mendapat restu daripada ibunya.