berita

Hantar Surat Lepas Bunuh, Kisah The Zodiac Killer ‘Menganjing’ Pihak Berkuasa Kekal Misteri Hingga Kini

September 30th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

‘The Zodiac Killer’ merupakan seorang pembunuh bersiri yang masih menjadi misteri sehingga ke hari ini. Dipercayai masih hidup, lelaki ini telah menjalankan pembunuhan di San Francisco sekitar tahun 1960-an.

Apa yang menarik mengenai kisah ‘The Zodiac Killer’ ini adalah setiap pembunuhan yang dilakukan akan disusuli dengan sepucuk surat cryptogram atau huruf-huruf yang disusun berbentuk simbol. Kesemua surat itu akan diberikan kepada pihak polis dan media.

Berkulit putih dan memakai kaca mata

Lakaran wajah ‘The Zodiac Killer’

Berikut merupakan lakaran wajah ‘The Zodiac Killer’ yang berjaya diambil daripada salah seorang mangsa yang terselamat. Daripada kaca mata mangsa, The Zodiac Killer adalah seorang lelaki berkulit putih dan memakai kaca mata. Dia dianggarkan berumur dalam lingkungan 26 ke 30 tahun.

Lakaran tersebut sekali gus telah menjadi gambaran rasmi kepada pembunuh yang diberi gelaran The Zodiac Killer itu. Walaupun telah melakukan pembunuhan bersiri, dia seolah-olah mencabar pihak berkuasa untuk mencarinya dengan meminta media menyebarkan berita tersebut.

Dalam surat yang ditulis olehnya, ‘The Zodiac Killer’ akan menceritakan kronologi sebenar tentang apa yang berlaku dan semua identiti mangsa akan didedahkan olehnya. Sehingga kini, para penyiasat di seluruh dunia tidak dapat memecahkan kod namanya yang disusun bermula huruf A, E dan N. Disebabkan itu, dia telah digelar sebagai ‘The Zodiac Killer”’.

Setiap surat pasti ada logo

Simbol ‘The Zodiac Killer’

Selain menceritakan kronologi dan identiti mangsa, setiap surat yang dihantar oleh The Zodiac Killer akan diletakkan logo yang mewakili identitinya. Dia turut mengugut pihak berkuasa supaya setiap permintaannya di dalam surat perlu ditunaikan atau dia akan melakukan pembunuhan yang seterusnya.

Sebagai contoh, dia pernah mengugut pihak akhbar untuk memaparkan kisahnya atau dia akan meletupkan sebuah bas sekolah dan membunuh kanak-kanak di dalamnya. Permintaan itu ditunaikan kerana bimbang ugutannya itu benar-benar menjadi realiti.

Bukan semua permintaan ‘The Zodiac Killer’ akan dipenuhi. Oleh itu, kes pembunuhan akan terus berlaku. Sebagai contoh, seorang anggota polis telah mati dibunuh selepas tidak mengikut permintaannya.

Latar belakang pembunuhan

Pembunuhan bersiri ini dipercayai bermula sekitar penghujung tahun 1960-an dan awal tahun 1970-an. Dianggarkan 37 orang individu telah menjadi mangsa ‘The Zodiac Killer ‘ dan tujuh daripadanya berjaya dikenal pasti. Daripada semua kes pembunuhan yang dilakukan, terdapat empat surat mengandungi kod yang perlu diselesaikan oleh pihak polis. Namun, mereka hanya berjaya menyelesaikan satu sahaja.

Tujuh mangsa yang dikenal pasti terdiri daripada empat lelaki dan tiga perempuan. Dua daripada mereka dilaporkan masih hidup. Kesemua mereka berusia dalam linkungan 16 hingga 29 tahun.

Pembunuhan pertama

David Faraday & Betty Lou

Pembunuhan pertama Zodiac berlaku pada 20 Disember 1968. Dua pelajar sekolah telah ditembak mati olehnya. Kedua-dua pelajar tersebut dikenali sebagai Betty Lou dan David Faraday. Mereka dipercayai hadir ke konsert Krismas di Hogan High School sebagai teman majlis. Namun, David telah menukarkan rancangan tersebut dan membawa Betty menziarahi rakan lama mereka sebelum ke sebuah tempat romantik yang sunyi. Di tempat sunyi tersebut, kegembiraan mereka berdua bertukar menjadi tragedi ngeri apabila ditembak.

Berdasarkan laporan forensik, Zodiac telah meletakkan keretanya di sebelah kereta pasangan tersebut. Dia dipercayai memanggil kedua-dua pasangan itu untuk keluar daripada kereta. Betty yang keluar dahulu pada waktu itu tidak ditembak oleh Zodiac. Manakala, David telah ditembak di kepala. Panik akan situasi tersebut, Betty cuba untuk melarikan diri. Namun, dia turut ditembak dengan jarak yang dekat.

Modus operandi yang digunakan

Senjata yang digunakan Zodiac

‘The Zodiac Killer’ dipercayai telah menggunakan lebih daripada satu senjata semasa melakukan pembunuhan. Oleh itu, pihak polis mengalami kesukaran untuk mengenal pasti identiti Zodiac. Jika sebelum ini, pembunuh bersiri akan menjerut leher mangsa, menikam dan memukul mangsa. Tetapi tidak bagi Zodiac kerana dia gemar menggunakan pistol dan pisau sebagai modus operandinya. Dia juga akan menikam mangsa berkali-kali sehingga mati.

Menjadi sejarah hitam

Keratan akhbar kes ‘Zodiac’

Sehingga hari ini, The Zodiac Killer masih lagi tidak dapat ditangkap dan kes pembunuhannya masih dibuka. Beberapa suspek pernah juga dikenal pasti dan disoal siasat namun kesemuanya tidak menepati ciri-ciri yang dicari. Tulisan dan DNA juga tidak sepadan.

Kelicikan The Zodiac Killer telah mendapat liputan dari seluruh dunia dan menjadi sejarah hitam buat warga Amerika Syarikat terutamanya di kawasan San Francisco. Walaupun kes ini sudah lama berlalu, ianya tidak mustahil untuk berlaku semula kerana The Zodiac Killer dipercayai masih hidup.

Sumber: Filmdaily.co & Kupi-kupi Go

SKIP THIS AD ×