Sekadar gambar hiasan
Seorang penghuni anak yatim yang menetap di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin di Kuantan, Pahang disahkan meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah oleh rakan seasramanya.
Mangsa dibelasah hingga maut
Foto: Astro Awani
Memetik laporan Sinar Harian, mangsa yang berusia 11 tahun dipercayai disepak, dicekik dan dihempas ke lantai sehingga tidak sedarkan diri oleh suspek berusia 16 tahun. Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, ketika kejadian, mangsa bersama tujuh rakannya termasuk suspek berada di bangunan asrama surau berkenaan untuk melakukan gotong-royong.
Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku ketika mangsa bersama tujuh rakan termasuk suspek yang dilantik sebagai ketua telah ditugaskan untuk gotong-royong membersihkan surau.
Namun siapa sangka, setibanya di sana, berlakunya perselisihan faham antara mereka sehingga membuatkan suspek bertindak agresif dengan mencekik dan menghempas mangsa ke lantai hingga mangsa tidak sedarkan diri.
Mangsa didakwa ambil duit RM4
Sekadar gambar hiasan
Menurut sumber, suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati terhadap mangsa yang didakwa mengambil wangnya berjumlah RM4. Bukan itu sahaja, suspek juga dikatakan tidak puas hati dengan sikap mangsa yang tidak mengambil serius tegurannya. Tindakan tersebut bagaimanapun terbongkar selepas disaksikan oleh tujuh penghuni asrama yang lain.
Susulan daripada itu, tiga rakan termasuk suspek kemudian membawa mangsa yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri itu ke rumah penyelia asrama.
Ketika itu mangsa masih bernyawa dan awalnya disyaki diserang sawan lalu pengadu bersama seorang lagi penyelia asrama segera membawanya ke HTAA untuk mendapatkan rawatan. Sejurus tiba di hospital, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas.
Ekoran daripada itu, satu laporan polis berhubung kejadian telah dibuat dan suspek telah ditahan reman selama tujuh hari hingga 27 Mac bagi membantu siasatan. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian