Buat julung kalinya, kumpulan rock lagenda tanah air, Wings memperkenalkan tiket harga Rahmah serendah RM95 buat semua peminatnya bersempena Konsert Wings: The Rock Emperor, Kuala Lumpur Chapter yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 16 Disember ini.
Artikel Berkaitan: Search & Wings Kembali Berkongsi Pentas Selepas 10 Tahun, Nusa Fest Bawakan Butterfingers!
Tak fikir keuntungan
Ketika ditemui OhBulan!, kumpulan Wings yang dianggotai Datuk Awie, Eddie,Black, Syam dan Edrie memaklumkan harga yang ditawarkan itu adalah untuk memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat bagi merasai suasana konsert yang mereka adakan dan sama sekali tidak memikirkan tentang keuntungan.
Boleh saya katakan sejak beberapa tahun yang lalu, kali ini kami tawarkan harga tiket bawah dari RM100. Jadi saya rasa tiket ini adalah yang paling murah pernah ditawarkan dalam beberapa tahun ni.
Kalau nak fikirkan keuntungan saja sampai bila kan? Kalau nak fikir pasal untung kesian orang lain.
Sejujurnya kami memang tak ambil kisah pun. Kalau kami ni dapat untung sikit sahaja selepas buat konsert di dewan masyarakat yang boleh muat 1000 hingga 2000 orang sekali pun kami tak kisah.
Tambah Wings, mereka juga tidak mahu menawarkan harga tiket yang tinggi kerana takut itu akan menyebabkan ramai orang tidak mahu menonton konsert yang dianjurkan mereka.
Dapat kita lihat kebanyakan konsert dijual dengan harga beribu-ribu sampaikan kita orang sendiri tak berani nak jual tiket dengan harga sedemikian.
Kami takut kalau jual harga setinggi itu, orang jadi tak nak tengok pula nanti konsert kami.
Sebabnya kami fikir yang Wings ni ada lebih kurang dalam 10 tahun lagi untuk kami ada kemampuan melakukan konsert sebab kita tak tahu masa depan itu macam mana.
Wings berkata ketika ditemui sewaktu sesi beramah mesra bersama media di Sri Pentas pada petang Khamis.
Nyanyikan lagu yang jarang dimainkan
Dalam pada itu, Wings yang diketuai oleh Awie memaklumkan konsert yang diadakan kali ini sedikit berbeza apabila mereka bakal tampil dengan konsep seakan teater buat penonton yang hadir.
Pada konsert kali ini kami akan pamerkan sebuah konsert berkonsepkan seperti teater. Kami akan pastikan set yang akan dipersembahkan nanti berbeza dengan tema konsert yang rock yang pernah diadakan sebelum ini.
Bukan itu sahaja, pemilihan lagu pun kami tukar 360 darjah. Kalau sebelum ni kami bawakan lagu yang selalu didengar, tetapi kali ini kami akan bawakan lagu yang jarang dimainkan di radio pun.
Kumpulan Wings ni sebenarnya banyak sangat lagu tetapi banyak lagi lagu yang datang dari album seperti ‘Naga Keramat’ dan ‘Menakluk Kosmos’ jarang diminta orang ramai.
Jadi kami akan mainkan lagu-lagu dari album yang seperti berikut. Yang pastinya lagu-lagu tersebut melodinya semua sedap didengar.
Buat semua peminat Wings, jangan lepaskan peluang untuk saksikan Konsert Wings: The Rock Emperor, Kuala Lumpur Chapter yang akan diadakan di Stadium Malawati Shah Alam pada 16 Disember ini.
Anda boleh buat pembelian tiket dengan harga serendah RM95 di wings.uberticket.asia.