Penyanyi Hariz Fayahet, menegaskan bahawa dia akan sentiasa meneruskan cita-citanya sebagai anak seni yang berjaya meskipun perlu melalui ranjau kehidupan.

Artikel Berkaitan: Wanns Ahmad Tak Segan Sertai ‘Raise The Star’, Pecahkan Tembok Ego

Artikel Berkaitan: ‘Saya Yakin Akan Terkeluar Sisi Tegas Ketika Menjuri’

Restu ibu

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Fadhli Hariz Fayahet itu memberitahu, pada awalnya dia amat sukar menyakinkan ibunya untuk menceburi bidang seni malah impian menjadi penyanyi juga tidak direstui.

Nyanyian adalah segala-galanya untuk saya.

Saya dulu pernah berjuang untuk mendapatkan restu daripada ibu saya. Saya nak buktikan kepada ibu yang saya mahu meneruskan bidang ini walau apa pun terjadi.

Menurut penyanyi berusia 32 tahun itu, dia tetap memenuhi hasrat ibunya dengan menyambung pelajaran di peringkat universiti dalam bidang politik.

Tidak pernah mengalah, Hariz bagaimanapun meneruskan cita-cita sebagai penyanyi setelah berjaya menggenggam ijazah dan akhirnya direstui ibu untuk menyertai sebuah pertandingan nyanyian.

Saya boleh dikatakan sebagai seorang budak bijak kerana saya berjaya dapat straight A’s dalam peperiksaan.

Jadi ibu saya mengharapkan saya menjadi seorang yang berjawatan tinggi dalam sektor kerajaan.

Ibu saya bukan benci dengan bidang nyanyian, cuma dia tak mahu saya menjadikan nyanyian sebagai karier.

Saya habiskan pelajaran saya di peringkat ijazah sarjana muda terlebih dahulu sebelum masuk pertandingan itu.

Tapi saya tak pernah berhenti sampai ibu saya memberi restu dan semasa itu umur saya 25 tahun. Saya pertama kali memasuki pertandingan nyanyian dan menang.

Hariz berkata demikian sejurus selepas berakhirnya minggu pertama program Raise The Star yang berlangsung di Teater Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Hariz berpelajaran

Walaupun langkah seninya bermula lambat daripada penyanyi lain, namun Hariz reda dan tetap optimis untuk menempa nama di dalam bidang ini.

Saya sangat cemburu dengan mereka yang mendapat galakan awal daripada ibu bapa dalam bidang ini.

Namun segala yang berlaku pasti ada hikmahnya. Disebabkan restu ibulah saya menang pertandingan itu.

Mengakui dirinya kurang dikenali ramai, Hariz sama sekali tidak pernah terfikir untuk mencetuskan kontroversi demi populariti.

Berbalik kepada restu itu, saya kena sentiasa ingat pesanan dia.

Jadi pada saya tak perlu buat benda-benda yang tak elok untuk naikkan nama. Saya akan terus usaha untuk naik dengan bakat saya sendiri.