Pelakon Hariz Hamdan berani mencabar diri menjayakan watak hero dalam filem komedi ‘Sahak Gangster’ arahan Dr Ahmad Idham.
Artikel Berkaitan: ‘Sahak Gangster’ Bakal Temui Penonton Di Pawagam Januari 2025, Bawa Kembali Yana Samsudin Ke Layar Perak
Artikel Berkaitan: ‘Kalau Berlakon Kurang Bagus Kemudian Ada Orang Tegur, Saya Rasa Itu Okey Untuk Tingkatkan Motivasi’ – Hariz Hamdan
Anggap sebagai cabaran
Menerusi temu bual bersama OhBulan!, Hariz berkata, kali ini dia mahu keluar dari zon selesa demi meningkatkan lagi mutu dalam bidang lakonan.
Saya sering dikenali dengan watak-watak sama seperti pewaris ‘Megah Holdings’, karakter pemuda kaya yang bapanya ada perniagaan dan sebagainya. Peluang yang pengarah berikan ini sebagai salah satu cabaran.
Sebagai pelakon baharu, saya mempunyai banyak kelemahan. Banyak benda saya kena belajar tetapi saya rasakan ini peluang untuk saya menimba ilmu.
Berbicara lebih lanjut, Hariz memberitahu pada mulanya dia agak keberatan untuk membawa watak utama namun, hasil sokongan daripada pengarah dan tenaga produksi akhirnya dia berjaya.
Sebenarnya, filem Sahak Gangster sudah menjalani penggambaran dua tahun lalu. Sewaktu mendapat tawaran, sejujurnya saya agak ragu-ragu. Sudahlah watak ini ada sentuhan komedi, saya juga harus menggalas tanggungjawab membawa peranan hero.
Namun begitu, pengarah serta krew produksi memberikan dorongan serta galakan. Selaku pengarah, abang Ahmad Idham banyak memberikan tunjuk ajar. Saya rasa sangat bertuah. Saya juga gembira digandingkan dengan Nelissa Nizam sebagai heroin.
Kami pernah bekerjasama sebelum ini. Jadi mudah bagi saya untuk mencipta keserasian.
Sekadar info, filem Sahak Gangster bakal ditayangkan di pawagam bermula 9 Januari hadapan. Selain Hariz, filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Nelissa Nizam, Yana Samsudin, Usop Wilcha, Mamak Puteh, Mohammad Faizzal, Razak Ahmad, Chiwan, Azlan Komeng, Acong Sweetchild dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.