Bagi pencinta dunia dasar laut, peluang untuk mencuba aktiviti menyelam sambil menikmati keindahan pelbagai spesis hidupan marin memang jadi impian ramai. Tambahan pula kalau dapat menyelam di laut yang jernih. Seronok weh!
Tetapi disebalik keindahan pemandangan dasar laut yang menakjubkan tu, masih ramai yang belum tahu sebenarnya banyak spesis hidupan laut termasuklah karang kini berada di ambang kepupusan.
Terumbu karang jadi habitat hidupan laut
Walaupun nampak macam batu-bata atau tumbuh-tumbuhan, coral atau karang ini sebenarnya haiwan hidup tau. Ia membentuk ‘membran’ hidupan unik yang menutup batuan. Fakta paling penting adalah terumbu karang ini sebenarnya habitat untuk ribuan hidupan laut yang lain.
Kalau korang nak tahu, lebih 3000 spesies marin tinggal dalam terumbu di lautan negara kita. Dan lebih separuh daripadanya merupakan bekalan makanan laut kita tau. Cuba korang bayangkan kalau terumbu karang di lautan negara kita banyak yang dah mati dan semakin berkurangan. Ruginya!
Pulihara karang, elak pupus
Prihatin dengan masalah ini, inisiatif pihak Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan kerjasama Yayasan Coral Malaysia (YCM), Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Perikanan (DoF) patut dijadikan contoh memandangkan mereka bukan sahaja mengambil kira karang sebagai sumber yang perlu dipulihara tapi ia juga sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Program yang diberi nama Corals Malaysia Incubators ini sebenarnya sudah bermula sejak tahun 2017 dan tahun ini merupakan tahun ketiga penganjurannya. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kepentingan ekosistem marin untuk kelestarian alam semula jadi melalui aktiviti propagasi karang.
Lebih 1,200 karang berjaya dipropagasi
Apa yang membanggakan, sejak bermulanya program ini, lebih kurang 1200 karang telah berjaya dipropagasi oleh 300 orang sukarelawan daripada komuniti penyelam. Pada tahun 2018, seramai tiga orang nelayan tempatan telah dipilih sebagai pelopor di mana dua daripada mereka berjaya ke fasa seterusnya.
Tahun ini pula, seramai tiga orang lagi nelayan tempatan dipilih dan mereka diberi pendedahan tentang propagasi karang melalui sesi latihan yang diadakan oleh pihak YCM yang memiliki ladang karang pertama di Malaysia dengan pentauliahan daripada Jabatan Perikanan bagi Semenanjung Malaysia. Para nelayan ini dilatih menggunakan teknik yang betul dalam pembiakan karang serta pemulihara persekitaran marin.
Untuk pengetahuan semua juga, sehingga kini, seramai lapan inkubator telah dikenal pasti termasuk dua orang nelayan tempatan, terbabit secara serius dalam penternakan karang di Pulau Bidong, Pihak YCM turut mempunyai perancangan untuk mengambil para graduan dalam bidang marin dan akuatik untuk turut sama terbabit dalam program ini tau!
TM telahpun menyediakan sebanyak 65 meja karang (coral tables) bagi program inkubator dan penjagaan karang (coral adoption). Terbaik weh!
Paling penting, Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu dipatuhi dengan setiap meja karang mesti mempunyai 100 kepingan Acropora terkultur. 10 peratus daripada karang tersebut akan dikembalikan semula ke ekosistem marin untuk memastikan pembiakan semula karang secara semula jadi, di mana TM dan YCM telah mengembalikan 10 peratus daripada kumpulan pertama berkenaan ke ‘induk karang’ (asas dua lapisan) hasil propagasi oleh para inkubator TM yang terletak di Galeri Bawah Laut Malaysia di Pulau Bidong
Pulau Bidong pilihan ideal
Untuk pengetahuan korang, Pulau Bidong menjadi pilihan kerana ia dikatakan masih bebas daripada pembangunan dan pelancongan komersial serta berpotensi untuk terus dipulihara demi masa depan generasi akan datang.
Tapi, ini tak bermakna lokasi lain terus disisihkan ya. Sebenarnya, pihak TM dan YCM tetap mencari peluang dengan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk mengembangkan lagi projek propagasi karang ini ke beberapa kawasan lain di sepanjang persisiran perairan Malaysia.
Banyak beri manfaat!
Selain membawa kebaikan kepada ekosistem marin, program Corals Malaysia Incubators 2019 ini juga dilihat mampu memberi manfaat kepada komuniti nelayan kerana ia membantu mereka untuk menjana pendapatan tambahan. Seterusnya, ia juga dapat meningkatkan taraf hidup mereka.
Apa pun admin berharap program ini diteruskan agar kita dapat menyediakan lebih banyak habitat laut sekaligus memelihara ekosistem marin di Malaysia. Kalau korang nak dapatkan lebih informasi tentang pelbagai program menarik TM, korang boleh layari laman sesawang www.tm.com.my!