Bajet 2025 telah memperlihatkan kesungguhan kerajaan Malaysia dalam memperkuat sektor pertanian, khususnya penanaman padi yang merupakan tulang belakang kepada ketahanan makanan negara.
Sebagai negara yang bergantung kepada padi sebagai sumber makanan utama, kebergantungan terhadap import beras boleh membawa risiko besar kepada sekuriti makanan terutama dalam menghadapi cabaran global.
View this post on Instagram
Oleh itu, Bajet 2025 memfokuskan pada usaha mempertingkatkan produktiviti padi tempatan, daya saing petani serta kelestarian pertanian. Sektor pertanian menerima sokongan besar dengan peruntukan tambahan lebih RM250 juta 4.1% berbanding tahun 2024.
Dana ini dilihat memperkukuh keseluruhan peruntukan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjadi RM6.42 bilion.
Susulan itu, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri KPKM dalam satu temubual telah mengumumkan strategi-strategi mantap untuk bantu pesawah dan pastikan bekalan beras kita kukuh. Jom kita tengok apa yang menarik!
Pengaktifan semula kawasan sawah terbiar
Kawasan sawah terbiar seperti di Jasin akan dihidupkan semula sebagai sebahagian daripada usaha memperluas kawasan pengeluaran beras negara.
Datuk Seri Mohamad menekankan kepentingan kerjasama antara kementerian dengan kerajaan negeri bagi menghidupkan kembali tanah sawah yang telah lama ditinggalkan.
Melalui pendekatan ini, sawah terbiar akan diusahakan semula dengan teknologi moden dan pada skala besar untuk menjamin produktiviti yang lebih tinggi.
Inisiatif ini bukan hanya menambah pengeluaran padi tetapi juga membuka peluang pekerjaan bagi masyarakat tempatan yang ingin terlibat dalam sektor pertanian.
Pembukaan kawasan sawah baharu di Sarawak & Sabah
Risiko cuaca seperti banjir dan kemarau memang jadi cabaran bagi pesawah. Oleh itu, kerajaan cadang membuka kawasan jelapang padi baru di Sabah dan Sarawak untuk menambah kapasiti penyimpanan serta mengurangkan risiko kehilangan hasil.
Dengan tambahan jelapang ini, Malaysia tidak lagi hanya bergantung kepada Kedah dan Kelantan yang kadang kala terjejas akibat cuaca ekstrem.
Usaha berkenaan turut disambut kerajaan negeri Sarawak yang memperuntukkan sebanyak 500 juta ringgit bagi membuka kawasan baharu tanaman padi di negeri itu.
Malah, Sabah juga sedang giat memperkukuh sistem pengairan, memastikan sawah di negeri ini mendapat air yang cukup dan berkualiti.
Pendekatan pertanian berkelompok untuk hasil lebih tinggi
Model pertanian berkelompok akan diperkenalkan bagi memastikan pesawah dapat memanfaatkan teknologi terkini secara lebih efisien dan mencapai hasil yang lebih tinggi.
Contohnya di Pasir Puteh, Kelantan, pendekatan ini telah melonjakkan hasil daripada 3 tan kepada lebih 7 tan sehektar.
Melalui model berkelompok ini, pesawah dapat berkongsi sumber, memanfaatkan teknologi terkini dan akhirnya memperoleh pendapatan yang lebih baik.
Teknologi terkini untuk pesawah
Belanjawan 2025 juga memberi fokus pada teknologi moden seperti drone untuk penyebaran baja dan pengawasan pengairan secara automatik.
Teknologi ini sedang diterima secara meluas oleh pesawah di kawasan seperti Sekinchan, Selangor dan Pasir Puteh, Kelantan, di mana hasil sawah meningkat dengan pendekatan berkelompok.
Menurut Datuk Seri Mohamad, penggunaan drone dan teknologi moden ini bukan sahaja memudahkan kerja-kerja pesawah tetapi juga meningkatkan hasil dan efisiensi pengeluaran.
Belanjawan 2025 ini bukan saja bawa berita baik untuk pesawah tapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia! Dengan sokongan pada sektor padi, kita tak hanya mengurangkan kebergantungan pada beras import, tapi juga menjaga harga beras tempatan agar lebih stabil.
Jadi, bukan pesawah saja yang untung, tapi semua rakyat dapat menikmati jaminan makanan yang lebih selamat dan berkualiti. Belanjawan kali ini memang langkah tepat dalam membangunkan pesawah, memajukan pertanian dan memastikan makanan cukup untuk semua!
Dalam pada itu, sebanyak 2.78 bilion ringgit turut diperuntukkan kepada KPKM bagi meneruskan pemberian subsidi, insentif dan bantuan untuk pesawah dan nelayan.