
Bersempena sambutan 30 tahun perjalanan seni kumpulan nasyid Hijjaz, mereka akan kembali mengubat kerinduan peminat menerusi penganjuran Konsert Rindu Sumayyah di Istana Budaya pada 16 dan 17 Oktober ini.
Artikel Berkaitan: Anak Munif Hijjaz Teruskan ‘Perjalanan’ Legasi Nasyid
Artikel Berkaitan: ‘Ina Saya Dah Anggap Macam Adik ‘ – Isman Hijjaz
Hijjaz bawa lagu nostalgia

Ketika ditemui OhBulan!, anggota kumpulan Hijjaz, Isman Ismail, 57, berkata Konsert Rindu Sumayyah bakal menampilkan sekitar 30 buah lagu yang kebanyakannya terdiri daripada karya popular dan lagu nostalgia yang pernah menjadi siulan peminat sepanjang tiga dekad perjalanan seni mereka.
Kata Isman lagi, konsert tersebut turut menampilkan beberapa karya baharu daripada album terbaharu Hijjaz.
Lagu-lagu lama memang akan dimasukkan dalam konsert nanti.
Dalam konsert itu ada lebih kurang 30 buah lagu.
Kebanyakannya adalah lagu yang hits dan nostalgia Hijjaz.
Lagu baharu dalam album ini akan dimasukkan juga, mungkin satu atau dua lagu.
Ianya masih dalam peringkat pemilihan akhir.
Isman berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran album terbaharu Hijjaz berjudul ‘Akhir Bersamamu’, di Restoran Alkhair, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, anggota Hijjaz, Muniff Ahmad, 52, menjelaskan bahawa penganjuran konsert tersebut didorong oleh keyakinan terhadap sokongan peminat memandangkan kumpulan itu telah bertapak hampir tiga dekad dalam industri muzik tempatan dan memiliki kelompok peminat yang setia.
Banyak artis nasyid yang mengadakan konsert dan mendapat sambutan yang sangat baik.
Hijjaz sendiri merupakan satu nama besar dan sudah bertapak selama 30 tahun dalam industri.
InsyaAllah, saya rasa konsert ini adalah yang ditunggu-tunggu oleh peminat Hijjaz sendiri.
Keyakinan itulah yang menggerakkan kami untuk menganjurkan konsert ini.
Muniff turut menjelaskan bahawa konsert itu bukan sahaja menampilkan persembahan daripada kumpulannya sahaja, malah akan turut diserikan oleh legasi anak-anak didik mereka termasuk kumpulan Inteam, seperti Mustika dan Ae-Man.
Konsert ini bukan Hijjaz sahaja yang akan membuat persembahan.
Legasi anak-anak didik kami turut serta.
Konsert ini akan menampilkan hasil buah tangan dan kejayaan mereka seperti kumpulan Inteam, Mustika dan Ae-Man.
Pemilihan lagu belum dimuktamadkan

Sementara itu, Muhammad Hazamin Harun, mewakili pihak penganjur berkata, susunan lagu untuk malam konsert berkenaan masih belum dimuktamadkan, namun penonton dijangka berpeluang menghayati dan menyanyikan bersama lagu-lagu popular Hijjaz sepanjang persembahan berlangsung.
Konsert anjuran Inteam Records bakal menjadi medan mengimbau nostalgia peminat menerusi kira-kira 30 lagu malar segar.
Ada juga memperkenalkan beberapa karya baru daripada album terbaharu kumpulan berkenaan.
Jualan tiket akan dibuka bermula 24 Julai ini.
Dalam masa sama, Hazamin memaklumkan bahawa lagu ‘Akhir Bersamamu’ turut dimuatkan dalam senarai persembahan sebagai simbolik kebersamaan dan hubungan seorang hamba dengan Allah SWT.
Lagu Akhir Bersamamu pun akan dimuatkan sebagai simbolik kebersamaan dengan Allah SWT.
Maksudnya bukan Hijjaz mahu mengakhiri perjalanan bersama peminat, sebaliknya jika diteliti liriknya, ia membawa makna akhir kalam kita adalah untuk Allah.








