Di Youtube Curhat Bang Denny Sumargo, pelakon jelita, Luna Maya mengaku bahawa dia mengalami masalah mental yang dikenali sebagai Post Power Syndrome.
Pelbagai kontroversi timbul
Menurut Luna, kisah hidup dan perjalanan kariernya sebagai anak seni tidak berjalan begitu baik. Tambah Luna, semuanya berpunca selepas kontroversi putus cinta dan skandal seks bersama bekas kekasihnya iaitu Ariel.
Saya sempat mengalami gangguan mental yang namanya Post Power Syndrome. Ia seperti fasa di mana anda yang punya banyak power, tiba-tiba kehilangannya. Kan macam gila saya. Sebelum ini saya seorang yang mempunyai segalanya. Dipuja dan disukai ramai. Tiba-tiba dikeji lalu bukan menjadi siapa-siapa.
Ujar Luna, keadaan pada waktu itu menjadi lebih buruk kerana dia perlu berjuang secara sendiri demi mempertahankan karier yang telah dibina. Di samping itu, dia perlu mendapatkan kepercayaan orang ramai semula. Katanya lagi, dia pernah menganggur selama setahun kerana pada waktu itu.
Perjuangan sangat parah
Apa yang saya lalui merupakan perjuangan yang sangat parah. Ada kalanya saya rasa sudah tidak diperlukan dalam industri hiburan.
Bercerita lebih lanjut, Luna memberitahu dia turut kehilangan tawaran sebagai model. Sampai satu tahap, dia mengambil keputusan untuk membuka sebuah perniagaan. Berkat kesabaran dan kegigihan, Luna gembira kerana dia berjaya bangkit daripada zaman gelap. Jelas Luna, kehidupannya sekarang jauh lebih baik berbanding sebelum ini.
Terima kasih Tuhan, banyak peristiwa yang telah terjadi dalam hidup saya. Mungkin ada yang melihat Luna sebagai hina kerana banyak hal negatif yang pernah terjadi dalam hidup saya. Tapi somehow, I really love my life.
Di akhir bual bicara tersebut, Luna menjelaskan dia masih belajar dan berusaha untuk menjadi yang terbaik.
Sumber: Curhat Bang Denny Sumargo