Jika sebelum ini, pelakon Jasmin Hamid pernah meluahkan rasa kesal apabila foto yang dimuat naik bersama anak angkatnya di Instagram menjadi bahan kutukan dan kejian daripada netizen.
Terbaru menerusi laporan Harian Metro, pelakon tersebut telah mengambil tindakan undang-undang dan mengemukakan tuntutan saman fitnah terhadap tiga individu yang mengeji wajah anak perempuannya seperti ‘bapok’ pada 2 Mei lalu.
Mohon jaga lisan atau anda disaman
Sebelum ini, Jasmin pernah memuat naik satu gambar di Instagramnya bersama bukti laporan polis telah memberi amaran kepada para netizen supaya menjaga lisan jika tidak mahu disaman. Menurutnya, terdapat lebih 15 nama individu yang akan disaman kerana mengeluarkan kata-kata kejian terhadap anak angkatnya itu.
Baginya, kata kejian yang terlalu melampau itu adalah perbuatan cyber bully yang perlu diambil tindakan supaya memberi pengajaran kepada semua pihak. Dia juga turut kesal dengan netizen yang sanggup mengeji anak angkatnya yang merupakan seorang anak yatim.
Mahu berikan pengajaran
Terbaru, pelakon tersebut telah mengambil tindakan kepada tiga individu yang mengeji rupa anaknya itu. Menurunya, tindakan tersebut bertujuan untuk menjaga maruah anak perempuannya dan ahli keluarga. Tambahnya, sewaktu tindakan itu diambil, seorang wanita telah tampil dan membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesalahan yang dilakukan dan akur dengan tuntutan yang dikemukakan.
Saya failkan saman sebab individu terbabit berulang kali menggelarkan anak saya ‘bapok’. Jadi perkataan itu yang membuatkan saya mahu ambil tindakan undang-undang. Disebabkan perkataan itu juga, kehidupan anak saya menjadi terganggu dan menerima tohmahan daripada orang luar.
Dia sangat terkesan dengan komen yang dilemparkan sehingga mengganggu emosinya. Walaupun keadaan fizikal anak saya macam mana sekalipun, tiada siapa berhak untuk mencela fizikal orang lain. Ini bukan soal meraih publisiti, nak cari duit lebih melalui saman ganti rugi malu tapi lebih kepada mengajar warganet supaya lebih berhati-hati dalam Internet.
Kita hidup dalam negara yang mengamalkan undang-undang. Bukan setakat di luar, dalam laman sosial pun terikat dengan peraturan yang sama. Jadi berhati-hatilah. Malah Islam juga tidak mengajar kita untuk mencaci fizikal orang lain. Bukankah setiap tindakan buruk yang dibuat akan ditanya di akhirat kelak.
Menerusi tuntutan yang dibuat, ketiga-tiga individu tersebut dikehendaki membuat permohonan maaf secara terbuka, membayar ganti rugi sejumlah wang, membuat permohonan dalam media dan surat akuan terbuka untuk menarik balik kenyataan yang dibuat.
Sumber: Harian Metro & Jasmin Hamid