berita

Hindari Makanan Pedas, Masam & Berlemak Elak Sakit Ulu Hati Ketika Berpuasa

April 27th, 2020 | by Amirul Asraf
Kesihatan & Hidup Aktif

Berpuasa adalah ibadah yang diwajibkan kepada mereka yang mampu melakukannya. Ini bermakna ada individu yang tidak dibenarkan untuk tidak berpuasa, tetapi menggantikannya pada hari yang lain atau membayar fidyah. Kalau korang nak tahu, berpuasa mampu membuatkan seseorang lebih sihat dan kuat.

Namun begitu, bagi sesetengah individu berpuasa akan menyebabkan mereka berasa tidak selesa dan mengalami rasa pedih perut atau rasa sakit pada ulu hati. Menerusi Facebook Dr Zubaidi, beliau berkongsi cara untuk mengurangkan rasa sakit ulu hati ketika berpuasa. Jom baca!

Mengurangkan rasa sakit ulu hati

Secara amnya rasa sakit ulu hati hati ketika berpuasa mungkin dialami oleh beberapa individu, tetapi selalunya akan berkurangan setelah memasuki minggu kedua, ketiga dan keempat berpuasa. Jika masalah berterusan, buatlah pemeriksaan lengkap. janganlah beranggapan ia hanya masalah ‘gastrik” saja. Ia mungkin masalah yang lebih serius. Bagi mereka yang mengalami masalah rasa sakit di bahagian ulu hati, korang dinasihatkan memeriksa pola pemakanan.

1. Hindari Makanan Pedas, Masam dan Berlemak ketika sahur dan berbuka. Bukan tidak boleh langsung, tetapi berpada-pada (makan dalam kuantiti yang sederhana).

2. Hindari Makanan Karbohidrat Ringkas. Pada waktu sahur dan berbuka, eloklah mengambil makanan yang kaya dengan serat seperti kurma, sayur-sayuran dan buah-buahan. Elakkan makanan yang mengandungi banyak karbohidrat ringkas dan makanan berproses, seperti nasi putih. Boleh tukarkan kepada beras rebus dan beras perang.

3. Minum air secukupya selepas makan, tetapi jangan terlalu banyak. Minum air secukupnya dapat mengurangkan kepekatan asid yang berlebihan. Jika diambil terlalu banyak, boleh menyebabkan masalah penghadaman kerana asid menjadi terlalu cair. Elakkan juga minuman yang terlalu manis (bergula) atau bergas.

4. Jangan Makan Terlalu Kenyang. Apabila makan dalam jumlah banyak, perut akan terpaksa bekerja keras dalam jangka masa yang lebih lama untuk menghadamkan makanan yang diambil. Ini merangsangkan pengeluaran asid yang lebih banyak ke dalam perut. Makan dengan jumlah yang banyak, juga menyebabkan kita menjadi letih dan mengantuk.

Mengamalkan gaya hidup sihat

5. Hindari Rokok dan Alkohol. Rasa pedih ulu hati boleh disebabkan dari aktiviti merokok dan pengambilan minuman yang berlakohol (sama ada dalah kuantiti yang tinggi atau rendah). Hentikan tabiaat merokok sepanjang Ramadan. Insya Allah akan mudah menghentikannya di luar Ramadan.

6. Menurunkan Berat Badan. Menurunkan berat badan sehingga berat badan yang sepatutnya dapat mengurangkan masalah rasa sakit ulu hati terutamanya masalah GERD. Ini kerana apabila terlalu banyak lemak (terutama lemak vesceral) dalam abdomen, secara tidak langsung memudahkan asid masuk ke dalam esofagus.

7. Mengamalkan minyak zaitun ketika perut kosong sebaik selepas bangun pagi untuk bersahur atau ketika bersahur. Minyak zaitun adalah minyak sihat yang melindungi dan merawat luka dan keradangan pada permukaan dalam perut.

8. Ambil ubat untuk meredakan sakit ulu hati. Ubat yang selalu diberikan oleh doktor adalah ubat seperti:

a) Antasid : Berfungsi untuk meneutralkan asid dalam perut.
b) Antagonis Reseptor H-2 (H2RAs) : Berfungsi menurunkan kepekatan dan kauntiti asid dalam perut.
c) Penghalang Pump Proton (PPI) : berfungsi seperti H2RAs untuk menurunkan kepekatan dan kuantiti asid dalam perut.

Namun begitu jika masih berasa sakit selepas seminggu, korang dicadangkan kembali berjumpa doktor yang bertugas agar pemeriksaan yang lebih lengkap dapat dijalankan.

Sumber: Dr Zubaidi

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Content Champion at Rev Asia Berhad
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.