Demi menghormati sambutan Maulidur Rasul, Konsert Milenia yang dijadualkan berlangsung pada 30 September ini, telah ditunda ke 25 November 2023.
Masih mengekalkan Stadium Malawati Shah Alam sebagai lokasi konsert, penganjur telah memilih tarikh baharu selepas mengadakan perbincangan dan mencapai persetujuan bersama dengan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam.
Artikel Berkaitan: Elak Kontroversi, Goyang Asia Koplo Milenia ‘Rebranding’ Nama! Offer Tiket Harga Rahmah
Ada Muzik Milenia Food Festival
Menurut Pengarah Urusannya, Jeffri Yaacob berkata, sudah menjadi tanggungjawab penganjur untuk sentiasa peka dengan perkembangan semasa serta menjaga keharmonian semua pihak.
Diharap dengan penundaan Konsert Milenia ke tarikh yang lebih sesuai dapat membuka ruang kepada lebih ramai lagi penonton untuk sama-sama memeriahkan acara ini bersama-sama dengan kami.
Tambahan lagi, kami juga bercadang untuk mengadakan Muzik Milenia Food Festival selama empat hari berturut-turut di perkarangan Stadium Malawati Shah Alam bermula pada 23 hingga 26 November 2023.
Pihak kami sedang merangka strategi untuk menyediakan pelbagai acara yang dibarisi oleh selebriti, TikTokers dan usahawan tempatan.
Justeru itu, kami berbesar hati ingin mempelawa TikTokers, vendor-vendor makanan atau produk viral tempatan termasuk Indonesia untuk menyertai festival ini.
Ia secara tidak langsung dapat mencapai objektif kami untuk mengukuhkan kerjasama di antara dua negara iaitu, Malaysia dan Indonesia.
Jeffri juga berharap agar penundaan tarikh konsert ini juga dapat memberi peluang pemasaran lebih meluas kepada Konsert Milenia.
Kami juga berharap agar dapat menarik lebih ramai pelancong dari Indonesia ke negara ini. Siapa tahu Konsert Milenia dimasukkan ke dalam itinerari percutian hujung tahun mereka.
Irama dangdut ada keistimewaan
Dalam pada itu, tambah Jeffri, objektif penganjuran konsert ini adalah untuk memartabatkan muzik dangdut di Malaysia yang selama ini dipandang sebagai genre muzik kelas kedua.
Katanya, irama dangdut memiliki kekuatan dan keistimewaan tersendiri dan sangat menghiburkan.
Kerjasama dengan Nagaswara sedikit sebanyak dapat membantu perkembangan muzik dangdut di Malaysia dengan penghasilan lagu-lagu baru menggunakan teknologi terkini.
Diharap genre dangdut di Malaysia yang diperbaharui dan disegarkan mampu meneroka pasaran luar negara, sekaligus mewujudkan peluang kepada artis-artis dangdut tanah air untuk mengembangkan lagi karier mereka.
Kami juga telah memohon sokongan untuk menjalinkan kerjasama bersama MOTAC dan Tourism Malaysia untuk mempromosikan Malaysia menerusi muzik.
Dan dangdut dipilih kerana ia irama universal yang boleh menyatukan dua negara serumpun.
Konsert Milenia bakal mencipta sejarah apabila menampilkan ratu dangdut Malaysia dan Indonesia iaitu Amelina, Ani Maiyuni, Siti Badriah, Baby Shima, Fitri Carlina, Hesty Klepek-Klepek dan Rheyna Morena.
Di samping itu, DJ Dugem popular iaitu DJ ACE dan DJ Bob Arjuna turut diundang bagi memeriahkan lagi malam konsert dengan persembahan muzik berirama Dugem yang sedang menjadi trending di TikTok.
Tiket mengikut zon kini boleh didapati di laman sesawang www.ticket2u.com.my yang menawarkan harga terkini bermula dari RM240 (VIP Koplo), RM134 (Asyik), RM89 (Rindu) hingga ke zon berdiri yang hanya RM50.
Terdahulu, Konsert Milenia menggunakan nama Konsert Goyang Asia Koplo Milenia, namun terpaksa ditukar untuk mengubah persepsi negatif terhadap muzik dangdut.