berita

Hospital Siasat Dakwaan Bayi Maut Akibat Lewat Terima Rawatan, Masalah Dokumen Ketika Daftar

December 12th, 2019 | by Arini Saleh
Kini Trending

Kesal dengan kecuaian staf hospital sehingga menyebabkan bayi meninggal dunia, seorang lelaki meluahkan rasa tidak puas hati. Perkongsian yang mendapat lebih 3k shares di Facebook ini mendakwa hospital gagal memberikan rawatan dengan segera kepada isteri dan anak yang kritikal.

Menerusi laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus memberitahu sudah mengambil tindakan segera dan siasatan rapi sedang dijalankan.

Kelewatan staf jadi punca?

Menurut Mohamed Riduan Mohamed @ Asari, mereka sampai di hospital pada jam 8 pagi Ahad dan anak selamat dilahirkan pada jam 8.27 pagi. Namun, anak pra matang itu meninggal dunia didakwa akibat kelewatan pihak hospital memberikan rawatan kerana masalah dokumen ketika pendaftaran.

Kami tiba di hospital jam 8 pagi Ahad dan ketika itu air ketuban isteri sudah lama pecah, sejak jam 7 pagi ketika di rumah. Isteri saya ditempatkan di sebuah katil pada bahagian kecemasan dan tidak ditolak ke bilik prosedur rawatan bersalin kerana tiada dokumen.

Sejak tiba di hospital, pihak pendaftaran hospital asyik bertanya maklumat peribadi dan dokumen pengenalan diri serta buku merah, menyebabkan isteri saya lewat mendapat rawatan, sedangkan waktu itu bahagian badan bayi saya sudah terkeluar secara songsang.

Dalam keadaan cemas melihat keadaan isteri di rumah, memang saya tidak sempat untuk memikirkan soal dokumen. Selang hampir setengah jam kemudian barulah bayi saya dilahirkan jam 8.27 pagi.

Bayangkan berapa lama bayi tersangkut dan implikasi yang boleh menimpa anak dan isteri saya. Begitu mudah pihak hospital bermain dengan nyawa isteri dan anak saya.

Katanya lagi, dia dimaklumkan oleh doktor pakar anaknya kritikal apabila berlaku pendarahan dalam kepala tahap empat. Dia turut mendapat tahu pada hari pertama, pendarahan di kepala anak sudah berada di tahap dua.

Persoalannya, mengapa hal ini tidak dimaklumkan kepada saya pada hari pertama dia dilahirkan sedangkan ia sudah dikesan doktor.

Pada hari pertama, mereka hanya maklumkan bahagian bawah pusat hingga ke pinggang anak saya kebiruan dan perlu dipantau.

Bapa yang sangat kecewa dengan perkara ini mahukan tindakan lanjut dan siasatan ke atas kakitangan dijalankan.

Siasatan rapi dijalankan

(Sekadar gambar hiasan)

Dr Nor Azimi Yunus selaku Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berkata tindakan segera sudah diambil pihaknya dan kini siasatan rapi berhubung kejadian kematian bayi sedang dijalankan. Katanya lagi, dalam keadaan kecemasan, rawatan akan diberikan tanpa perlu menunggu proses pendaftaran selesai.

Penjelasan berkaitan keadaan bayi dan risiko komplikasi kelahiran pramatang sudah dimaklumkan ketika perjumpaan bersama bapa selepas kelahiran bayi itu, iaitu kira-kira jam 10 pagi pada Ahad lalu.

Penjelasan lebih lanjut juga sudah diberikan oleh Pakar Neonatologi kepada kedua ibu bapa bayi itu pada kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin, selepas beberapa siri ujian dan pemeriksaan lanjut dibuat ke atas bayi kelahiran pramatang itu.

JKNT mengucapkan takziah dan menzahirkan rasa simpati kepada kedua-dua ibu bapa terbabit dan berharap pihak keluarga diberikan ruang oleh semua pihak pada masa yang sukar ini.

Dr Nor Azimi Yunus juga memohon orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi tanpa sebarang sumber yang sahih.

Sumber : Harian Metro , Kelana Jagat

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×