berita

Hukum Melakukan Ujian Swab Ketika Bulan Puasa, Batal Atau Tidak?

April 24th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Nasopharyngeal swab dan Oropharyngeal swab merupakan dua jenis kaedah saringan yang digunakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengenal pasti sama ada seseorang individu positif atau tidak wabak yang sedang melanda negara.

Memandangkan hari ini merupakan hari pertama seluruh umat Islam berpuasa, sudah pasti korang tertanya-tanya apakah hukum ujian swab terhadap orang yang sedang berpuasa kan? Menerusi Facebook Dr Maza, beliau memberitahu hukum dan hujah mengenai perkara tersebut. Jom baca!

Tidak membatalkan puasa

Buat pengetahuan korang, kaedah Nasopharyngeal swab ialah alat swab akan dimasukkan ke dalam rongga hidung individu sehingga ke kawasan nasopharynx dengan kedalaman lebih kurang 4.8cm bagi kanak-kanak dan 8 hingga 12cm bagi golongan dewasa untuk mengambil sampel mukus. Manakala, kaedah Oropharyngeal swab pula ialah alat swab dimasukkan ke dalam mulut hingga ke kawasan oropharynx iaitu di belakang anak tekak bagi mengambil sampel yang sama.

Menurut Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, setelah melihat kepada dalil-dalil yang dikemukan secara perbandingan, maka mereka mentarjihkan pendapat bahawa kaedah swab semasa melakukan ujian saringan wabak yang sedang melanda tidak membatalkan puasa.

Hujah dan alasan

1. Ujian swab tidak membawa gambaran dan makna makan atau minum yang menjadi sebab membatalkan puasa dengan ijmak ulama. Maka, sesuatu puasa yang sah secara yakin tidak boleh dianggap batal dengan sesuatu yang syak atau sekadar sesuatu andaian.

2. Menjadikan alasan memasukkan sesuatu ke dalam rongga dalam sebagai sebab pembatalan puasa menimbulkan perbezaan pendapat yang luas di kalangan ulama mazhab. Pandangan yang ditarjihkan iaitu ujian swab tidak membatalkan puasa bertepatan dengan pandangan sebahagian ulama Hanafi yang mensyaratkan sesuatu yang masuk ke dalam rongga dalam mestilah sesuatu yang kekal di dalamnya dan tidak bersambung dengan sesuatu lain di luar badan.

3. Sebagai tambahan sokongan, al-Majma’ al-Fighi al-Islami di dalam majalah al-Majma’, 10/453-455 telah menyenaraikan beberapa isu perubatan yang tidak membatalkan puasa termasuklah ‘memasukkan gastroscope (teropong perut) ke dalam perut tanpa sebarang bendalir atau seumpamanya’.

Pandangan Mufti Kelantan dan Pahang

Menerusi laporan Berita Harian, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menjelaskan ujian berkenaan juga dibenarkan dan diberi kelonggaran kepada umat Islam yang berpuasa kerana ia melibatkan aspek kesihatan.

Berdasarkan pengalaman saya apabila disyaki dijangkiti COVID-19, ujian swab itu tidak masuk jauh ke dalam rongga hidung. Begitu juga untuk ambil sampel di rongga tekak. Saya tidak pasti dengan prosedur ujian dengan orang lain, tetapi bagi diri saya, ujian swab tidak membatalkan puasa.

Jika ujian itu jauh ke dalam tekak atau kerongkong, barulah boleh jadi batal. Kalau ada orang rasa was-was ujian swab itu membatalkan puasanya, maka dia boleh berbuka. Nanti dia kena ganti puasa itu selepas Ramadan

Tambahnya, jika seseorang berasakan ujian swab itu membatalkan puasanya, seperti alatan swab menusuk jauh ke dalam rongga hidung, wajib baginya menggantikan puasa berkenaan.

Bagi saya, ujian swab tidak akan membatalkan puasa kerana alat berkenaan tidak sampai jauh ke dalam rongga hidung atau sehingga ke halkum atau kerongkong. Ia berbeza dengan penggunaan ‘inhaler’ kerana ia akan masuk ke dalam rongga perut yang ternyata membatalkan puasa mengikut hukum syarak.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berpendapat yang sama iaitu ujian swab tidak akan menyebabkan puasa Ramadan seseorang terbatal.

Sumber: Dr Maza & Berita Harian

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×