Tiga lelaki yang disabitkan kesalahan membunuh seorang warga emas 13 tahun lalu, terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati kepada penjara 35 tahun.
Artikel Berkaitan: Remaja Bunuh Suami Terlepas Hukuman Gantung – ‘Jika Kamu Dewasa Saya Terpaksa Jatuhkan Hukuman Mati. Bersyukur Kamu Terselamat’
Dikenakan 12 sebatan setiap seorang
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan semakan yang difailkan oleh S. Ranjitkumar, S. Gobi dan E. Sangkar di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Turut bersidang dalam panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Hakim Mohamed Zabidin memerintahkan ketiga-tiga mereka dikenakan 12 sebatan setiap seorang.
Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu menjalani hukuman masing-masing mulai tarikh mereka ditangkap. Ranjitkumar ditangkap pada 17 Jan 2011, manakala Gobi dan Sangkar ditangkap pada 15 gos 2010.
Ranjitkumar, 37, Gobi, 42, dan Sangkar, 41, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 23 April 2014 kerana membunuh P. Kannayah yang ketika itu berumur 61, di tangga apartmennya di Bukit Ampang Permai, Ampang Jaya, Selangor pada 10.30 malam, 31 Julai 2010.
Rayan mereka di Mahkamah Rayan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing ditolak pada 7 Mac 2016 dan 23 Mac 2017.
Dalam prosiding hari ini (Selasa), peguam M. Manoharan, Rajit Singh dan Azamuddin Abdul Aziz yang masing-masing mewakili Ranjitkumar, Gobi dan Sangkar, telah memohon mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk menggantikan hukuman mati kepada hukuman penjara.
Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai bagaimanapun meminta mahkamah mengekalkan hukuman mati ke atas ketiga-tiga mereka berikutan kecederaan yang dialami si mati.
Beliau berkata si mati keluar dari rumahnya untuk melindungi anaknya daripada serangan tiga lelaki itu.
Sebaliknya, katanya, ketiga-tiga lelaki itu yang bersenjatakan parang tidak menunjukkan belas kasihan kepada si mati dan menyebabkan 22 luka kelaran ke atasnya.
Sumber: Bernama