Program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) kini kembali dengan musim ketujuh dan menampilkan penyanyi-penyanyi misteri bersama barisan baru panel tetap yang terdiri daripada selebriti terkenal tanah air.
Pastinya ICYVMY7 pada kali ini menjanjikan lebih banyak kejutan dan persembahan yang luar biasa untuk penonton di seluruh negara.
Artikel Berkaitan: I Can See Your Voice Malaysia Musim Ketujuh Lebih Mencabar & Kelirukan Penonton?
Banyak elemen ‘surprise’
Sejak diperkenalkan, ICSYVMY7 telah mencipta fenomenanya yang tersendiri dan telah menjadi program realiti hiburan di Malaysia yang menerima sambutan hangat saban tahun dengan capaian sehingga 14 juta tontonan sepanjang enam (6) musim bersiaran.
Program yang mengambil konsep dan format program asal dari Korea Selatan ini masih mengekalkan Izzue Islam dan Shiha Zikir sebagai pengacara dan gandingan mantap mereka yang begitu serasi dan lucu sememangnya membuat peminat dan penonton setia ICSYVMY tidak kering gusi melihatnya.
Mengulas lebih lanjut, Jamil Hassan selaku Penerbit Eksekutif menjanjikan bahawa musim ICYVMY7 akan memberikan pelbagai elemen baharu dan menarik buat penonton.
I Can See Your Voice Malaysia musim ketujuh menjanjikan banyak elemen-elemen baharu dan menarik. Penonton akan dapat menyaksikan gelagat lucu yang pasti dapat menceriakan malam mereka.
Kami telah berusaha keras untuk memastikan setiap episod lebih menghiburkan daripada sebelumnya.
Sementara itu, pengacara ICSYVMY7, Izzue dan Shiha turut memberi pandangan sama dengan Jamil dan sangat gembira kerana sekali lagi diberi peluang untuk mengemudi program ini.
Kami sangat gembira untuk kembali bersama penonton dan tidak sabar untuk menyaksikan kejutan-kejutan hebat yang menanti. Setiap musim mempunyai keunikan tersendiri dan kami yakin musim ini akan menjadi yang terbaik!
Panel penyiasat baharu
Pada musim ini anda akan dihiburkan lagi dengan gelagat barisan panel penyiasat tetap baharu yang terdiri daripada pelakon, pelawak dan penyanyi hebat tanah air iaitu Naim Daniel, Riena Diana, Bell Ngasri dan Siti Khadijah Halim.
Program muzik misteri ini memerlukan kata sepakat bagi mengenal pasti dan membuat keputusan siapakah penyamar yang perlu disingkirkan.
Jika peserta yang berjaya mara ke pusingan akhir ialah seorang penyamar, beliau bakal memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM3,000. Manakala penyanyi sebenar mungkin akan berpeluang menyertai Alternate Records & Talents dan merakamkan single bersama komposer terkenal.
Seperti biasa, artis jemputan akan memperoleh bantuan dari panel penyiasat tetap dan panel penyiasat jemputan untuk mengenal pasti penyamar dan penyanyi sebenar pada setiap episod.
Antara artis jemputan yang akan meriahkan lagi suasana di ICSYVMY musim ketujuh ini adalah Sharif Zero, Chacha Maembong, Amy Mastura, Janna Nick, Khai Bahar, Adira Suhaimi dan ramai lagi. Manakala, panel penyiasat jemputan pula terdiri daripada Ryan Bakery, Azhan Rani, Anna Jobling, Nadeera, Ernie Zakri, Datuk Yusof Haslam, Marsha dan ramai lagi.
Berjayakah mereka menggalas tanggungjawab untuk mencari penyanyi sebenar? Atau adakah mereka dipertanggungjawabkan hanya untuk meriuhkan keadaan dan menimbulkan kekeliruan penonton di rumah?
Jangan lupa saksikan I Can See Your Voice Malaysia musim ketujuh (ICSYVMY7) yang akan bersiaran selama 11 episod dan akan membuka tirainya bermula 23 Jun 2024, setiap hari Ahad, jam 9.00 malam hanya di TV3.
Anda juga boleh strim langsung secara HD menerusi Tonton di www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.