Beberapa hari lepas viral kisah seorang ibu muda yang terpaksa tinggal di dalam kereta bersama enam orang anaknya setelah ditinggalkan suami. Kisah sedih yang dikongsi oleh Uncle Kentang di laman Facebook miliknya mendapat perhatian netizen termasuk pihak Lembaga Zakat Selangor. Terbaru, pihak Lembaga Zakat Selangor memaklumkan sudah memberikan bantuan dan akan menguruskan keluarga ini dengan sebaiknya,
Diusir tuan rumah kerana sewa tertunggak
Menurut Uncle Kentang, wanita ini terpaksa tidur di dalam kereta selepas diusir tuan rumah. Wanita ini dicerai suaminya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Keadaan mereka yang menyedihkan mendapat perhatian netizen yang rata-rata tumpang simpati dengan nasib menimpa keluarga ini. Kisah ini turut mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor yang kini sedang dalam proses membantu keluarga ini.
Suami tidak pulang ke rumah lebih 4 bulan
Ibu dan anak kecil tidur dalam kereta setelah diceraikan suami dan diusir pula oleh tuan rumah kerana sewa tertunggak. Seorang ibu muda, berusia 30 tahun tinggal di dalam kereta bersama 6 orang anak berumur 14, 10, 8, 3, 2 dan 5 bulan di stesen minyak Rasa, Hulu Selangor dan menumpang mandi di tandas stesen tersebut. Beliau sedang dalam proses penceraian kerana kes ditangguhkan kerana PKP. Suami tidak pulang ke rumah lebih 4 bulan sejak penghujung bulan Februari 2020. Ketika ini, beliau tidak mempunyai pekerjaan setelah diberhentikan oleh majikan sejak Mac 2020 kerana PKP. Sepanjang PKP beliau pulang ke kampung di Temerloh, Pahang.
Ibarat jatuh ditimpa tangga. Beliau pulang dari kampung, tuan rumah pula meminta beliau keluar dari rumah sewanya. Sewa rumah tertunggak, tidak dibayar oleh ketua keluarga. Ujian demi ujian menimpa. Beliau pula disyaki menghidapi kanser payu dara tetapi belum menerima rawatan susulan lagi.
Anak masalah jantung berlubang
Manakala anak yang berumur 2 tahun mempunyai masalah jantung berlubang dan masih menerima rawatan susulan di Hospital Serdang 2 kali setahun. Anak yang berumur 5 bulan pula menghidapi ketumbuhan di leher namun belum dapat dikenalpasti. Rawatan susulan di Hospital Selayang. Terkini beliau dan anak-anak ditempatkan di sebuah hotel di Bukit Beruntung yang dibiayai oleh NGO Darul Jariyah.
Zakat Selangor menyalurkan sumbangan kecemasan RM500 bagi menampung keperluan pemohon dan anak-anak sementara menunggu bantuan susulan dalam masa terdekat. Hasil bancian mendapati, beliau layak didaftarkan sebagai asnaf fakir.
Antara bantuan yang akan disalurkan :
1. Deposit dan sewa bulanan rumah
2. Bantuan Kewangan Bulanan
3. Bantuan Makanan Bulanan
4. Bantuan Perubatan (rawatan bulanan)
Sumber : Lembaga Zakat Selangor