Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, yang meninggal dunia akibat dibunuh dalam kejadian di Damansara Damai, Disember lalu telah ditahan polis.
Artikel Berkaitan: ‘Selamat Bergraduasi, Mommy Bangga Dengan Setiap Pencapaian Abang’ – Ibu Zayn Rayyan
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Mommy Bangga Dapat Lahirkan Abang, Penghuni Syurga Allah’ – Ibu Zayn Rayyan
Ibu bapa Zayn Rayyan ditahan
Memetik laporan Sinar Harian, pasangan suami isteri itu ditahan di sekitar Puncak Alam, pada Jumaat kira-kira jam 11 pagi. Lelaki dan wanita terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor iaitu Datuk Hussen Omar Khan mengesahkan berkaitan penahanan tersebut. Jelasnya, pasangan suami isteri itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk permohonan reman, pada Sabtu.
Sebelum ini, ibu Zayn Rayyan iaitu Ismanira Abdul Manaf berkongsi di Facebook mengenai kehilangan anaknya ketika menaiki tangga ke rumah mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai selepas bermain di taman permainan kawasan tersebut, 5 Disember lalu.
Pada 7 Disember, mayat Zayn Rayyan yang merupakan anak istimewa itu ditemui di aliran sungai berdekatan blok rumahnya. Mangsa disyaki dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di lokasi kejadian. Hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh mangsa.
Sumber: Sinar Harian, Gempak