Umum tahu, pelakon Intan Ladyana disahkan positif Covid-19 dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB), pada malam, Rabu. Suaminya yang juga aktor dan pengacara Harris Alif juga dijangkiti wabak tersebut namun hanya menjalani kuarantin di rumah.
Artikel Berkaitan: Positif Covid-19: Harris Alif Kuarantin Di Rumah, Intan Ladyana Dikejarkan Ke Hospital – ‘Saya & Isteri Berada Dalam Keadaan Baik’
Hamil tujuh bulan
Ketika dihubungi, ibu kepada Harris iaitu Khalizah Abdul Khalid, berkata Intan dan Harris mula mengalami demam sejak Isnin.
Kata Khalizah, selepas mendapat keputusan, doktor menyarankan agar Intan dikuarantin di hospital supaya dapat memeriksa keadaan kesihatan menantunya itu yang sedang hamil tujuh bulan.
Intan dan Harris mula demam pada Isnin. Ingatkan demam biasa, tapi keesokkan hari pun masih demam. Jadi, saya minta mereka buat swab test.
Semalam dapat keputusan disahkan positif Covid-19. Disebabkan Intan sedang hamil, doktor sarankan untuk dia kuarantin di Hospital Sg Buloh.
Malam tadi, ambulans datang ambil Intan untuk dibawa ke hospital supaya senang jururawat dan doktor nak tengok keadaan Intan dan bayi dalam kandungan. Manakala Harris hanya kuarantin di rumah seorang diri.
Dah lengkap vaksin
Dalam pada itu, Khalizah menarik nafas lega apabila Intan dan Harris berada dalam keadaan baik serta tidak mempunyai simptom yang teruk.
Alhamdulillah… pagi tadi Intan dan Harris ada hubungi saya memaklumkan keadaan mereka baik-baik sahaja. Doktor pun dah periksa keadaan Intan dan bayi.
Mereka dalam keadaan baik dan tiada simptom yang teruk. Intan dan Harris pun dah lengkap vaksinasi, harapnya keadaan mereka semakin baik.
Setiap masa saya akan periksa keadaan mereka. Macam Harris, dekat rumah seorang diri, saya akan masak dan letak makanan di depan rumah dia.
Terdahulu, program hiburan terbitan TV3, Melodi melalui Instagram (IG)nya melaporkan tentang situasi pasangan tersebut di samping memohon doa daripada orang ramai.
Untuk rekod, Intan dan Harris bernikah di Masjid Wilayah di sini, pada 4 Februari lalu selepas lebih setahun berkenalan.