Seorang wanita yang disahkan menghidap kanser payudara ketika sedang sarat mengandung meninggal dunia selepas 47 hari bertarung nyawa. Sel kanser sudah merebak ke bahagian tulang belakang menyebabkan bayi terpaksa dilahirkan pra matang melalui pembedahan sebelum ibu koma.
Menerusi laporan Harian Metro, arwah isteri, Noor Athirah Mohd Ariff sempat meminta suaminya, Muhammad Hairi Ramli, membawa kedua-dua anak mereka ke hospital untuk menatap wajah buat kali terakhir.
Kanser merebak ke tulang belakang
Menurut suami, mereka hanya berkomunikasi menggunakan nota yang ditulis. Beberapa hari sebelum meninggal dunia, arwah kelihatan sedikit lemah dan meminta untuk berjumpa anak-anak.
Sepatutnya arwah dibenarkan berjumpa dengan anak-anak esok selepas mendapat kebenaran daripada doktor yang merawatnya, namun arwah merayu supaya saya membawa dua anak kami berjumpa dengannya lebih awal seolah-olah seperti mengetahui masanya sudah sampai.
Bagi memenuhi permintaan arwah, saya berbincang dan meminta kebenaran daripada doktor serta jururawat dan semalam saya membawa Muhammad Hairil Hafsya dan Muhammad Haidil Haziq ke hospital, namun pada ketika itu arwah sudah tidak mengenali sesiapa yang mendekatinya.
Walaupun sedih arwah tidak sempat menatap wajah anak kedua kami yang baharu dilahirkan namun saya bersyukur kerana dapat memenuhi permintaannya buat kali terakhir.
Selepas 46 hari dirawat di di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, arwah dipindahkan ke wad biasa selepas keadaan stabil. Namun, siapa sangka Allah SWT lebih menyayanginya.
Mohon halal
Awal Jun lalu, sepupu arwah ada memuat naik status memaklumkan keadaan semasa arwah yang koma selepas melahirkan bayi. Paling menyedihkan apabila anak kecilnya itu belum sempat merasai kasih sayang ibu walau hanya setitis susu.
Mawardy Che Aziz mewakili seluruh keluarga turut mengucapkan terima kasih di atas doa dan derma yang telah disumbangkan orang ramai kepada arwah selama ini.
Sumber : Harian Metro , Mawardy Che Aziz , Yanna Sofea