Semalam, pengacara popular tanah air, Datuk Aznil Haji Nawawi membuat satu panggilan video bersama seorang wanita rakyat Malaysia yang terkandas di Tanah Suci Mekah sejak 26 Februari yang lalu. Menurut wanita yang dikenali sebagai Nisa, dia pergi menunaikan umrah bersama ibu dan ibu mertuanya.
Mak saya semput
Menurut Nisa, mereka berada di Madinah sejak 26 Februari sebelum ke Mekah pada 1 Mac. Tambahnya, mereka dijangka pulang ke Malaysia pada 7 Mac namun, ibunya yang berusia 71 tahun mengalami masalah semput sehingga dia terpaksa membawa ke hospital. Nisa turut memberitahu hanya mereka bertiga sahaja yang pergi menunaikan umrah. Suaminya tidak dapat turut serta.
Sewaktu berada di hospital, Nisa memberitahu bahawa doktor telah menahan ibunya dan tidak membenarkan mereka pulang ke tanah air disebabkan wabak Covid-19 juga. Ujian saringan kesihatan mengenai wabak tersebut turut dijalankan terhadap ibunya. Alhamdulillah, hasilnya negatif. Cuma, keadaan ibunya pada ketika itu sangat lemah dan turut menghidap beberapa penyakit lain seperti kencing manis dan masalah buah pinggang.
Di kesempatan yang ada, Pak Nil turut bertanya adakah dia sempat memasuki Masjidil Haram ketika perintah lockdown dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi. Menjawab pertanyaan Pak Nil, Nisa memberitahu jemaah dibenarkan masuk Masjidil Haram sehingga 15 Mac sahaja. Tetapi pada ketika itu jemaah sudah tidak ramai.
Didenda sebanyak 10 riyal
https://www.instagram.com/p/B-XF7VXgpSd/
Mengulas lebih lanjut mengenai lockdown, Nisa memberitahu dia terpaksa keluar daripada hotel dan mencari rumah sewa sementara menunggu ibunya kembali sihat. Kesemua masyarakat di sana perlu duduk di rumah seawal jam 3 petang bagi mengelakkan diri mereka didenda sebanyak 10 riyal bersamaan RM10 ribu. Ini kerana, kerajaan Arab Saudi ingin memastikan kesemua masyarakatnya bebas dari wabak penyakit tersebut.
Nisa juga meluahkan hasratnya untuk pulang ke Malaysia. Namun, semuanya bergantung kepada tahap kesihatan ibunya. Sebagai anak, dia gembira dapat menunaikan impian ibunya untuk mengerjakan umrah. Pak Nil sempat memberikan kata-kata semangat di mana ada hikmah yang Allah berikan kepadanya dan sebagai manusia Nisa perlu bersyukur kerana berada di Tanah Suci ketika orang lain tidak dapat berkunjung ke sana.
Pak Nil turut memberitahu bahawa sudah pasti ramai yang mencemburui Nisa kerana dia diberi kesempatan menjaga ibunya yang tengah sakit dan berada di Mekah bersama insan tercinta. Bukan semua manusia berpeluang sedemikian. Sebelum mengakhiri panggilan video tersebut, Pak Nil meminta Nisa untuk mendoakan kesejahteraan kesemua petugas-petugas kesihatan termasuk anggota polis dan tentera yang bertugas di Malaysia. Pak Nil turut memohon agar wabak Covid-19 segera hilang dan kesemua negara kembali pulih seperti sedia kala.
Sumber: Datuk Aznil Haji Nawawi