berita

Idea Bisnes ‘The Mix Project’ Diangkat Menjadi Juara Usahawan Buletin FM 2022!

March 12th, 2022 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Usahawan Buletin FM edisi 2022 yang baru sahaja berakhir semalam, telah menemui juaranya. Kemuncak Usahawan Buletin FM menyaksikan Nur Azra binti Ab Rahman, 31 dari Dengkil, Selangor dengan idea perniagaan The Mix Project, pelbagai tepung PreMix Cake lengkap (now everyone can bake and ready to eat) telah diangkat sebagai juara sekaligus membawa pulang RM25,000 dan slot iklan radio di Buletin FM bernilai RM125,000. Tahniah!

Gembira dan bersyukur

Di kemuncak Usahawan Buletin FM, hanya 2 orang peserta sahaja yang layak ke pusingan akhir dan mereka sekali lagi perlu membentangkan idea perniagaan mereka di hadapan Datuk Seri Johari Ghani, usahawan, pemilik perniagaan dan strategis pemulih korporat. Selain itu, undian menerusi laman sesawang Buletin FM juga memberi sumbangan dari segi pemarkahan mereka. Pencabar Nur Azra binti Ab Rahman ketika beraksi di pentas akhir Usahawan Buletin FM ialah Muhammad Aswad Zakaria, 29 dari Kedah yang membawakan idea bisnes pembekal makanan haiwan jenama sendiri dengan sijil Halal yang diiktiraf. 

Pemarkahan edisi kali ini mewakili beberapa pecahan iaitu melalui cabaran pembentangan awal di hadapan juri jemputan iaitu Coach Wan Arjuna, Ketua Pegawai Eksekutif, Entrepreneur Culture Incorporated dan Dato’ KK Chua, Pengasas Entrepreneur Insight yang mewakili 70% markah, 10% markah mewakili undian di website Buletin FM dan 20% markah lagi diberikan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika pembentangan semula di Kemuncak Usahawan Buletin FM. 

Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan kepada saya, suami, keluarga dan rakan-rakan yang sama-sama bantu mengundi saya di website Buletin FM. Saya rasa sangat gembira dan bersyukur atas peluang yang diberikan oleh Buletin FM sekaligus bergelar juara Usahawan Buletin FM edisi 2022 ini.

Idea untuk mengeluarkan dan mengembangkan pelbagai PreMix Cake yang setanding dengan homebaker di luar sana menjadi titik tolak Nur Azra untuk mengembangkan bisnesnya kerana kebanyakan PreMix di pasaran adalah diimport dari luar negara dan mempunyai kekurangan dari segi rasa (kerana PreMix tidak lengkap) dan menjadi punca ramai memilih untuk tidak menggunakan PreMix.

Lihat kualiti idea perniagaan yang diusulkan

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran, perbezaan Usahawan Buletin FM edisi kali ini adalah pihaknya telah memperketatkan terma dan syarat serta melihat kepada kualiti daripada idea perniagaan yang diusulkan oleh peserta.

Edisi kali ini, dianggarkan lebih kurang 100 penyertaan diterima dan kita mencari seorang pemenang sahaja untuk kali ini. Pada hari ini, kita telah berjaya mencari juara Usahawan Buletin FM iaitu Nur Azra binti Ab Rahman. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada beliau kerana berjaya mengungguli Usahawan Buletin FM edisi 2022 ini dan membawa pulang wang tunai RM25,000 serta RM125,000 slot iklan radio.

Jadi, untuk kali ini, juara kita hanya memfokuskan kepada satu bisnes daripada satu usahawan sahaja supaya kita dapat membantu beliau untuk berjaya dalam perniagaannya.

Simbolik penyerahan replika cek RM25,000 dan slot iklan radio di Buletin FM bernilai RM125,000 telah disempurnakan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Nazri Noran dengan cara mematuhi SOP sebaik pemenang Usahawan Buletin FM diumumkan.

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×