Baru-baru ini, ada beberapa video iklan produk kecantikan telah menerima kecaman dan mengundang kemarahan netizen.
Video-video mengelirukan tersebut memaparkan aksi seorang model tiba-tiba makan krim penjagaan kulit.
Aksi itu seolah-olah memberikan gambaran yang jenama tersebut selamat untuk dimakan sedangkan produk yang telah diformulasi untuk kegunaan luar tubuh badan adalah sama sekali tidak boleh dimakan dan boleh mendatangkan kemudaratan kesihatan.
Kementerian Kesihatan Malaysia telah ambil tindakan.
Menyedari teknik pemasaran yang digunakan jenama kosmetik dari negara China tersebut bercanggah dengan garis panduan yang telah ditetapkan, Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM menyatakan bahawa Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis 14 hari penjelasan bermula 31 Januari 2025.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, hasil semakan lanjut oleh NPRA mendapati produk kosmetik itu diiklankan di laman Facebook dengan tuntutan melangkaui definisi kosmetik khususnya untuk dimakan atau digunakan secara oral. Tuntutan ini bercanggah dengan keperluan dalam Garis Panduan Tuntutan Kosmetik dan Garis Panduan Iklan Kosmetik.
View this post on Instagram
Elak ‘marketing’ lebih sudu dari kuah!
Sedih betul bila ada jenama terkemuka seperti ini buat marketing bukan-bukan.
Video yang sepatutnya mempromosikan diskaun menarik dan penurunan harga, jelas menyampaikan kandungan tidak beretika tanpa penjelasan yang tepat sehingga mengundang kecaman banyak pihak.
Maka, tak hairanlah banyak netizen dan ibu bapa yang bimbang iklan tersebut akan mempengaruhi pencipta kandungan lain dan anak-anak mereka untuk cuba melakukan perkara yang sama semata-mata untuk viral.
Teknik pemasaran seperti ini seharusnya tidak berlaku kerana ianya bukan sahaja akan menjatuhkan reputasi sesebuah produk malah membahayakan pengguna.
Seharusnya, jenama-jenama besar mematuhi Garis Panduan Iklan Kosmetik dan menggunakan saluran yang tepat untuk beriklan dan jangan menggunakan misleading marketing yang tidak beretika kerana ianya menyalahi Kod Amalan Pengiklanan Malaysia.