Penyanyi berbakat, Iman Troye menasihatkan anak muda di luar sana khususnya mereka yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Januari depan untuk tidak mengabaikan kesihatan diri meskipun sibuk dengan pelajaran.
Artikel Berkaitan: Putus Cinta Tak Halang Iman Troye Dekan Setiap Semester
Adik saudara koma 4 bulan
Ketika ditemui OhBulan!, Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Sahabudin berkata pelajar di luar sana perlulah menjaga makan, minum serta mendapatkan rehat yang cukup supaya tidak menjejaskan kesihatan mereka.
Menurut Iman, adik saudara yang juga merupakan kawan rapat kepadanya mengalami koma selama empat bulan akibat terlalu kuat mengulang kaji pelajaran sehinggakan terpaksa menangguhkan diri dari menduduki peperiksaan SPM.
Jangan belajar terlalu kuat sebab ada orang yang jenis belajar, belajar dan belajar sahaja.
Anda juga perlukan rehat dan air yang cukup. Selain itu, pemakanan yang seimbang juga penting bagi memastikan kesihatan terjaga.
Kalau tak jadi macam kawan saya yang juga merupakan anak saudara saya yang mengalami koma selama empat bulan dan perlu tangguh peperiksaan SPM.
Jadi, kesihatan itu amatlah penting bagi anda semua untuk menduduki SPM.
Iman berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media PTTI Pecutan Terakhir SPM yang diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama pada petang Khamis.
Ketika ditanya mengenai kejadian tersebut, pelantun lagu ‘Nang’ tersebut mendedahkan bahawa adik saudaranya itu terlalu penat belajar sehingga terjatuh tangga dan menyebabkan kepalanya terhantuk lalu koma.
Dia belajar di Kelantan dan boleh saya katakan dia sangat struggle ketika itu sebab dia nak tunjukkan terbaik pada keluarga.
Dia tak cukup makan dan rehat sebab ulang kaji pelajaran sehinggakan badan dia tak kuat. Dia jatuh tangga sampai kepala terhentak sebelum rebah dan pengsan.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 20 tahun itu juga menitipkan pesanan buat semua pelajar di luar sana untuk melakukan yang terbaik sebagai tanda untuk membalas jasa ibu ayah yang banyak berkorban masa dan tenaga untuk anak-anak.
Peperiksaan SPM ini hanya sekali sahaja dan ini adalah salah satu cara untuk anda tunjukkan yang terbaik untuk balas jasa seterusnya membuatkan ibu ayah bangga dengan anda.
Sekali lagi saya nak tekankan jaga kesihatan di samping anda melakukan ulang kaji pelajaran.
Keputusan SPM memang penting tapi dalam masa yang sama kesihatan diri juga perlu dijaga.